.

.

PFAM mahu Melaka United dibicarakan di NDRC, cadang pemain dilepaskan

Persatuan Pemain-pemain Bola Sepak Malaysia (PFAM) kesal dengan tindakan Melaka United yang masih belum menjelaskan tunggakan gaji secara sepenuhnya kepada pemain.


PFAM menerusi kenyataan di media sosial persatuan berkata mereka menyokong sebarang bentuk usaha yang diambil oleh mana mana pihak dalam membela kebajikan pemain. 


“Di pihak PFAM, laporan telah dihantar secara rasmi ke FAM bagi tujuan perbicaraan. Perbicaraan ini akan dilangsungkan di Majlis Resolusi Pertikaian Kebangsaan (NDRC) mengikut waktu yang ditetapkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).


“PFAM juga mencadangkan agar pelepasan khas diberikan kepada pemain Melaka United yang terkesan akibat isu tunggakan gaji untuk mewakili mana mana pasukan yang layak untuk menyertai saingan Piala Malaysia 2022. Namun perkara ini tertakluk kepada budi bicara MFL.



“Walau bagaimanapun, PFAM menggesa agar suatu tarikh perbicaraan dapat disegerakan oleh NDRC bagi tujuan pembelaan terhadap pemain dapat dilakukan secepat yang mungkin. 


“Proses perbicaraan perlu dilaksanakan dalam waktu terdekat agar suatu keputusan rasmi oleh FAM dapat dikeluarkan untuk menangani masalah ini,” katanya hari ini.


Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) hari ini mengumumkan bahawa slot TM Piala Malaysia bagi Melaka United musim ini dibatalkan.


Keputusan itu diambil selepas Melaka United gagal menepati tarikh akhir melangsaikan hutang gaji tertunggak pemain selama tiga bulan.


Foto: PFAM

Powered by Blogger.