.

.

Melaka United, Sarawak United gagal dapat lesen Liga Super 2023

Melaka United dan Sarawak United gagal mendapatkan Lesen Kebangsaan selepas permohonan mereka tidak memenuhi kriteria yang ditetapkan dalam Kitaran Peraturan Pelesenan Kelab MFL 2022.

Pengerusi Pelesenan Kelab Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Sheikh Mohd Nasir Sheikh Mohd Sharif berkata, keputusan yang dibuat menerusi Mesyuarat Pelesenan Kelab MFL First Instance Body (FIB) pada 11 dan 12 Oktober menyaksikan kedua-dua pasukan itu tidak layak bertanding dalam saingan Liga Super 2023.


"Kelab itu (Melaka United) gagal mengemukakan bukti bayaran tunggakan gaji pemain dan pegawai sehingga Ogos serta tidak menyerahkan dokumen-dokumen berkaitan bagi memenuhi syarat sub kriteria kewangan F.04 dan F.11.


"Manakala Sarawak United pula gagal memenuhi kriteria kewangan dan kesukanan serta mempunyai dua kes FIFA di mana keputusan telah dibuat oleh DRC FIFA terhadap bekas pemain (Sandro Da Silva Mendonca dan Taylor Francis George Regan).



"Bagaimanapun Melaka United dan Sarawak United diberikan peluang untuk mengemukakan rayuan sebelum 19 Oktober 2022 terhadap keputusan FIB yang menolak permohonan mereka mendapatkan Lesen Kebangsaan," katanya menerusi kenyataan hari ini (12 Oktober 2022).


Sebanyak 10 pasukan yang bertanding dalam Liga Super 2022 telah berjaya mendapatkan Lesen Kebangsaan sekali gus melayakkan mereka bertanding dalam saingan Liga Super 2023.


10 kelab yang diberikan Lesen Kebangsaan adalah Johor Darul Ta’zim (JDT), Kedah Darul Aman FC, Negeri Sembilan FC, Penang FC, PJ City FC, Sri Pahang FC, Selangor FC, Terengganu FC, Kuala Lumpur City FC dan Sabah FC.


Sementara itu permohonan enam kelab yang beraksi dalam Liga Premier 2022 diluluskan dan diberikan Lesen Kebangsaan untuk menyertai Liga Super 2023.

Enam kelab terbabit adalah Kelantan FC, Kuching City FC, Kelantan United FC, Perak FC, PDRM FC and UiTM FC.


Foto: MUFC

Powered by Blogger.