.

.

Syarikat 'public listed' dalam rundingan beli saham Melaka United


 Melaka United kini dalam proses perbincangan bersama beberapa syarikat terbesar tempatan termasuk sebuah organisasi tersenarai di bursa saham yang berminat untuk membeli saham kelab itu.

Perkembangan positif itu dikongsikan peguam yang mewakili kelab, Zhafri Aminurashid kepada Arena Metro bahawa pihaknya sedang berusaha bersama pemilik, Datuk Justin Lim mencari jalan terbaik bagi menyelamatkan pasukan itu.

"Sekarang ini, saya boleh katakan terdapat syarikat 'public listed' dalam rundingan untuk berkerjasama dengan Datuk Justin atau, membeli kesemua saham Melaka United.

"Tapi biasalah, ini mengambil masa dan proses yang agak panjang sebelum kedua-dua pihak bersetuju. Mungkin ambil masa dalam 30 hingga 60 hari sebelum dimuktamadkan.

"Situasi ini macam pasukan Perak FC juga, beberapa kali rundingan dibuat sebelum syarikat besar yang tersenarai dalam 'public listed', XOX tampil membeli kelab itu.

"Jadi kita harap MFL (Liga Bolasepak Malaysia) dapat memahami dan menerima rayuan yang kita akan serahkan esok bagi membolehkan pasukan terus kekal beraksi dalam Liga Super musim depan.

"Tapi kalau rayuan kita tak berjaya, sudah tentu agak sukar kita nak cari 'pembeli' di luar sana untuk menyelamatkan pasukan MU," katanya hari ini (18 Oktober 2022).


Melaka United sebelum ini berdepan penyingkiran daripada beraksi dalam saingan Liga Malaysia 2023 selepas gagal mendapatkan lesen kebangsaan kerana tidak memenuhi kriteria ditetapkan First Instance Body (FIB) Pelesenan Kelab Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Selain Melaka United, Sarawak United juga berdepan situasi sama, dengan kedua-dua pasukan diberi tempoh sehingga esok sebelum jam 5 petang.

Skuad hijau putih itu hanya gagal memenuhi satu kriteria daripada enam yang ditetapkan iaitu berkaitan kewangan membabitkan dokumen F04 dan F11.

Hal itu susulan tunggakan gaji dan potongan KWSP serta Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang tertunggak sehingga Ogos tahun ini.

Menjelaskan perkara terbabit, Zhafri mengakui pihaknya masih berusaha mencapai persetujuan pembayaran secara berperingkat dengan pemain dan beberapa jurulatih pasukan.

"Ada tiga peringkat, pertama kami sudah dapat persetujuan penuh pembayaran bersama kakitangan dan staf sokongan kelab.

"Tetapi untuk jurulatih, ada yang menerima dan ada yang belum memberi kata putus. Namun persetujuan dengan pemain agak sukar, di mana boleh dikatakan semua pemain belum memberi keputusan.

"Tapi kami akan berusaha untuk yakin selesaikan masalah ini, dan harap semua dapat diselesaikan sebelum esok," katanya.

Foto: MUFC

Powered by Blogger.