.

.

Melaka FC sah bertanding di Liga M3


Melaka FC sah akan bertanding dalam saingan Liga M3 musim depan.

Memetik laporan Melaka Hari Ini (MHI), Presiden Persatuan Bola Sepak Melaka (MAFA), Datuk Nur Azmi Ahmad berkata, Melaka FC yang sedang dipersiapkan menetapkan misi kembali ke Liga Super pada 2024, selain layak beraksi di Piala FA musim depan.

Katanya, walaupun bersaing di liga bawahan, beliau akan memastikan pasukan itu mempunyai kualiti setanding pasukan Liga Super dengan membariskan sekurang-kurangnya 10 pemain anak jati Melaka.

“Kita dalam proses memilih jurulatih baharu dan telah menyenarai pendek empat calon, dua jurulatih luar dan dua anak tempatan untuk mengemudi pasukan.

“Pada masa sama, jawatankuasa teknikal akan dilantik bagi bekerjasama dengan jurulatih dalam aspek pemilihan pemain.

“Barisan pemain akan kita siapkan pada Disember, dua bulan sebelum saingan Liga M3 membuka tirai pada Februari,” katanya.


Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Pelancaran dan Undian Rasmi Gavernor Cup 2022, di sebuah hotel di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), malam tadi.



Mengulas lanjut, beliau berkata, Stadium Hang Jebat akan menjadi lokasi perlawanan laman sendiri Melaka FC dan semua perlawanan akan diadakan pada sebelah malam.


Katanya, pada peringkat permulaan ini, penyokong skuad Hang Tuah berpeluang menyaksikan perlawanan secara percuma.


Dalam perkembangan berkaitan, Nur Azmi turut mengumumkan nama Persatuan Bola Sepak Melaka United (MUSA) kini diganti kepada MAFA berkuat kuasa serta merta.


Katanya, pertukaran itu bertujuan untuk mengembalikan semula kegemilangan bola sepak Melaka dengan kembali semula kepada nama asal yang telah wujud sejak tahun 1924.


“Kalau hendak ke depan, saya tidak nampak MUSA itu sebagai satu jenama yang boleh membangun atau menaikkan nama Melaka.


“Benar, jenama tidak penting tetapi pentadbiran dan pengurusan itu yang perlu diutamakan. Saya percaya jika kualiti pentadbiran kita berjalan lancar, sasaran untuk kembali ke Liga Super pada 2024 akan tercapai,” katanya.


Foto: MUSA

Powered by Blogger.