.

.

Ingat boleh bayar pakai kerang? Pemain Melaka United berang gaji tertunggak masuk 6 bulan


IBARAT ikan digulai sudah melompat. Hampir enam bulan tanpa menerima sebarang gaji daripada majikan bukan sesuatu yang mudah untuk didepani pemain-pemain Melaka United. Yang bujang lagikan tersepit, inikan pula mereka yang sudah berkeluarga.

Bayangkan hampir setiap bulan dikejar oleh pihak bank yang menuntut hutang pembiayaan pinjaman dan sebagainya, agak sukar kehidupan yang dilalui pemain ketika ini.

Bagi mereka yang telah mendapat pasukan baharu, mungkinlah sedikit sebanyak dapat meringan sedikit beban hutang yang ditanggung tetapi bagaimana pula nasib mereka yang masih samar lagi masa depan mereka?

Seorang pemain pertahanan Melaka United berkata, dia dan rakan-rakan memikirkan masalah yang dihadapi bagi meneruskan kelangsungan hidup.

"Bulan 12 (Disember 2022) ini masuk enam bulan. Pening kepala mana hendak korek. Ingat boleh beli barang, bayar komitmen guna kulit kerang agaknya.

"Kebanyakan penyokong faham kenapa prestasi kami merudum. Gaji sebulan tidak ada pun orang dah meroyan, inikan pula berbulan-bulan," katanya kepada Melaka United Media semalam.


Minggu lalu, pemain pertahanan yang dipinjamkan dari Johor Darul Ta'zim (JDT), Mohd Syazwan Andik menerusi akaun Instagramnya meluahkan rasa tidak puas hati selepas pengurusan kelab membisu mengenai isu gaji tertunggak.

Dalam pada itu, isteri kepada seorang lagi pertahanan Melaka United musim 2022 memberitahu, pemain kelab pernah menerima cek bayaran gaji namun sebenarnya yang diterima adalah cek tendang.

"Mereka dapat tandatangan (pesetujuan pemain) tetapi cek yang dia bagi itu kena tendang. Esoknya, pemain sendiri kena pergi sendiri ke Kuala Lumpur untuk ambil gaji sebulan secara tunai. Di sana mereka diam dan kata tidak ada duit. 

"Ada seorang pemain mesej (tanya mengenai gaji tertunggak) tapi mereka hanya baca sahaja mesej tersebut. Tunggu gaji sendiri tetapi macam mengemis duit orang." ujarnya.

Ibarat menunggu buah tidak akan gugur. Sampai bila mereka akan terima gaji mereka?

Powered by Blogger.