.

.

Isu gaji: Pemain Melaka United guna 'talian hayat' TMJ

TUNKU ISMAIL SULTAN IBRAHIM

TIDAK tahan dibelenggu kemelut tunggakan gaji yang hampir masuk enam bulan lamanya, beberapa pemain Melaka United hari ini akhirnya menggunakan talian hayat daripada pemilik Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Menerusi perkongsian di Instagram, pemain seperti Hasbullah Abu Bakar, Syukri Baharun, Wan Amirul Afiq Wan Abdul Rahman, Faris Shah Rosli, Wan Zaharulnizam Wan Zakaria, Mohd Fauzan Fauzi dan Fakhrullah Rosli menzahirkan permintaan agar Tunku Mahkota Johor (TMJ) itu agar campur tangan.

Kesemua mereka memohon agar TMJ menjadi orang tengah antara Ketua Pegawai Eksekutif Melaka United, Datuk Justin Lim dan Presiden Persatuan Bola Sepak Melaka United (MUSA), Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

"Ampun Tunku, dengan rasa rendah diri kami pemain Melaka United ingin memohon pertolongan Tunku untuk menyelesaikan kemelut gaji kami antara Justin dan Sulaiman.

"Tanpa pertolongan Tunku, kedua-dua pihak akan terus berdiam diri. Dengan ini kami berharap Tunku dapat membantu pemain Melaka (United)," katanya hari ini.

Melaka United Media hari ini melaporkan mengenai tekanan yang dihadapi pemain-pemain Melaka United selepas 'dikejar' pihak bank gara-gara tidak menjelaskan pembiayaan dek kerana tunggakan gaji yang berlarutan hampir enam bulan.

Sehingga kini masalah yang dihadapi pemain-pemain masih belum ada kesudahannya sehingga mereka terpaksa meminta bantuan daripada TMJ.

Foto: hrhcrownprinceofjohor

Powered by Blogger.