.

.

Kenteam mahu jual Melaka United, tuntut MUSA langsai gaji tertunggak


ISU tunggakan gaji Melaka United beralih ke episod baharu hari ini apabila Ketua Pegawai Eksekutif kelab, Datuk Justin Lim mendedahkan butiran perjanjian saham antara syarikatnya, Kenteam Medical Sdn. Bhd dan Persatuan Bola Sepak Melaka United (MUSA).

Justin berkata, selaku pemegang saham terbesar dengan 70 peratus, syarikatnya telah menunaikan tanggungjawab sepenuhnya dari segi kewangan antara tahun 2021 dan 2022.


Sebaliknya dakwa beliau, MUSA yang diwakili penama, Datuk Kadir Ab. Idris selaku pemegang baki 30 peratus saham seperti dalam perjanjian wajib bertanggungjawab sepenuhnya dalam soal kewangan, tidak terhad kepada gaji, kos operasi dan sebagainya.

"Kenteam akan terus mengejar MUSA untuk memastikan mereka melaksanakan tanggungjawab mereka yang sehingga kini masih belum membayar walaupun satu sen pun. 

"Kami telah membuat tuntutan daripada MUSA sejak Ogos 2022, tetapi tidak diambil peduli yang akhirnya mengakibatkan pasukan tidak bermain di Piala Malaysia dan tidak mendapat Lesen Kebangsaan 2023.

"Disebabkan ini, Kenteam mengambil keputusan untuk menjual 70 peratus saham Kelab Bola Sepak Melaka United (MUFC) kepada pihak yang berminat bagi meningkatkan dana syarikat dan menyelesaikan hutang-hutang tertunggak. Proses rundingan ini telah berlangsung dan pihak berminat telah diberikan masa 30 hari untuk memuktamadkan perjanjian jual beli," katanya menerusi kenyataan hari ini.


Beberapa pemain Melaka United semalam dilaporkan memohon bantuan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim selepas gaji tertunggak mereka menginjak kepada lima bulan.

Untuk rekod,  Datuk Kadir adalah bekas Setiausaha Sulit kepada Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali, di mana beliau telah diarahkan untuk memegang 30 peratus saham dalam MUFC sebagai penama bagi pihak MUSA. 

MAFA kini diterajui oleh Presiden baharu, Datuk Nur Azmi Ahmad

Dalam pada itu, Justin berkata, beliau kecewa apabila permohonan Melaka United untuk menyertai Liga M3 ditolak gara-gara MUSA yang kini ditukar nama kepada Persatuan Bola Sepak Melaka (MAFA) menghantar pasukan baharu untuk bertanding dalam kejohanan sama.

"MUSA telah mengambil sikap lepas tangan dengan menubuhkan pasukan baru untuk bertanding di Liga M3 dengan niat dan tujuan untuk mengendahkan tanggungjawab mereka kepada Melaka United. 

"Akibat daripada tingkah laku MUSA ituu, permohonan kami bertanding di Liga M3 juga telah ditolak oleh Ameteur Football League (AFL) disebabkan tidak mendapat pencalonan dan pengesahan daripada Persatuan Bola Sepak Negeri Melaka," ujarnya.

Foto: MUFC

Powered by Blogger.