Diberi kebenaran lantik jurulatih import, Melaka FC senyap-senyap atur aksi persahabatan


PENDATANG baharu Liga M3, Melaka FC dilaporkan mendapat kebenaran khas daripada Liga Bolasepak Amatur (AFL) untuk melantik ketua jurulatih import bagi bersaing dalam kempen liga musim ini.

Memetik laporan portal HarimauMalaya, kebenaran tersebut diberikan kepada dua pasukan sahaja iaitu Melaka FC dan juga Armed Forces FC.

Lapor portal berkenaan, perkara ini telah disahkan sendiri oleh Ketua Pegawai Operasi AFL, Mohd Raimi Fakri Mohd Fuad.

Untuk rekod, hanya enam pasukan di Liga Super menggunakan khidmat ketua jurulatih luar seperti Sri Pahang FC, Johor Darul Ta’zim, Kelantan FC, Kelantan United, Kuala Lumpur City FC dan Terengganu FC.


Dalam pada itu, pasukan Melaka FC nampaknya telah melakukan persiapan secara senyap-senyap apabila telah mengadakan dua persahabatan beberapa hari lalu. 

Perlawanan tersebut tidak diuar-uarkan dalam media sosial pasukan membabitkan aksi menentang PDRM FC yang berkesudahan dengan keputusan seri 1-1, sementara aksi kedua berdepan skuad bawah 23 tahun Selangor FC menyaksikan Melaka FC menang 4-1.

Aksi persahabatan seterusnya pasukan itu adalah menentang skuad bawah 23 tahun Negeri Sembilan FC pada 27 Januari ini.

Foto: @officialutemtuahfc