Melaka FC umum ketua jurulatih, pemain 9 Februari

DATUK NUR AZMI AHMAD

PENDATANG baharu Liga M3, Melaka FC bakal memperkenalkan pemain dan pegawai pasukan itu pada 9 Februari ini dalam sebuah majlis yang akan diadakan di sebuah hotel di Bandar Hilir.

Presiden Persatuan Bola Sepak Melaka (MAFA), Datuk Nur Azmi Ahmad berkata, pada majlis itu akan diperkenalkan juga ketua jurulatih baharu barisan penaja serta memperjelaskan lebih terperinci mekanisme pembayaran gaji yang lebih sistematik mengikut kemampuan kelab.

“Apa yang boleh saya katakan, kita akan menggunakan khidmat jurulatih import dari Portugal sebagai pelan jangka panjang kita untuk kembali ke Liga Super. Tetapi nama sebenar jurulatih akan kita umum pada 9 Februari nanti.

“Selain itu, kita juga akan memperkenalkan barisan pemain yang mana ada sebahagiannya merupakan pemain yang pernah beraksi di Liga Super sebelum ini,” katanya seperti yang dilaporkan Melaka Hari ini semalam.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas perlawanan akhir Governor Cup Melaka 2022 yang diadakan di Stadium Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Ayer Keroh, Melaka.

Dalam pada itu, Nur Azmi berkata, Melaka FC akan menjadikan Stadium Hang Tuah sebagai lokasi laman sendiri dan perlawanan dijadual berlangsung pada sebelah malam.

Katanya, sasaran utama pasukan itu adalah untuk muncul dua pasukan terbaik, sekali gus layak beraksi di Liga Super musim 2024.

“Dengan komitmen jawatankuasa dan barisan pemain, tidak mustahil untuk kita layak ke Liga Super dengan cara kita tersendiri.

“Apapun, saya berharap setiap perlawanan yang dihadapi pasukan ini dianggap seperti final dan kita perlu memenangi seberapa banyak perlawanan yang boleh untuk kita merealisasikan impian tersebut,” katanya.