Layak beraksi M3 kerana status pasukan negeri, Melaka FC umpama 'salin kulit' - Mohd Yusoff

DATUK MOHD. YUSOFF MAHADI

TIDAK mahu bola sepak di negeri Melaka 'mati' merupakan faktor utama mengapa pasukan baharu, Melaka FC dibenarkan beraksi terus ke Liga M3 tanpa melalui peringkat liga yang lebih rendah.

Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Mohd Yusoff Mahadi berkata, sebarang halangan penglibatan pasukan negeri dalam Liga Malaysia (Liga M) hanya akan membantutkan pembangunan bola sepak di negeri terlibat.


Katanya, biarpun Melaka FC baharu ditubuhkan tetapi pasukan ini mendapat kebenaran daripada Ahli Lembaga Pengarah Liga Bola Sepak Amatur (AFL) untuk menyertai Liga M3.


"Kita memikirkan akan membantutkan (pembangunan akar umbi) kalau tidak benarkan (pasukan) negeri beraksi, mereka tiada tempat untuk mewujudkan pembangunan di peringkat negeri. Tiada tempat hendak main.


"AFL bukan baharu. Jadi boleh kita merencanakanlah, letakkan slot. Cuma kalau sudah dua tiga tahun, tiba-tibda datang pasukan baharu hendak terjah, tidak bolehlah.


"Tahun 2022 merupakan tahun transisi untuk AFL tetapi sekarang kita tidak ada Liga Premier. Jadi kita kena ubah kesesuaian memikirkan agar bola sepak ini hidup di setiap negeri. 

"Atas faktor itu kita membenarkan macam Sarawak United, Melaka sendiri bermain dalam Liga AFL ini," katanya dalam sidang media selepas Taklimat Pasukan Liga M3 hari ini (7 Februari 2023).


Mengulas lanjut Mohd Yusoff yang juga Presiden AFL berkata, penangguhan sepak mula Liga M3 bukan disebabkan bagi memberikan ruang kepada Melaka FC untuk membuat persiapan.


"Kita melihat kalau faktor Melaka FC ini pun asasnya pun telah ada, macam salin kulit sahaja. Pemain mereka masih lagi yang sama tempoh hari (tahun lepas). Ada separuh sudah lari ke pasukan lain.


"Tetapi saya tengok ada tujuh lapan orang pun masih pasukan yang sama dan orang yang menguruskan pun masih terlibat dalam bola sepak. 


"Cuma atas faktor hutang, Melaka United tidak boleh main dan ada beberapa pemain (mereka) yang masih main dalam Melaka FC," ujarnya.


Foto: AFL, Perak Football Club