MELAKA FC buat pertama kalinya memperkenalkan jersi sulung pasukan yang akan digunakan dalam saingan Liga M3 bagi musim 2023.
Kontra dengan warna pasukan tradisi, Melaka United, Melaka FC sebaliknya memilih warna merah sebagai warna utama untuk jersi utama (home) sementara set jersi serba putih dipilih bagi digunakan pasukan itu.
Turut dilancarkan adalah penjenamaan semula logo pasukan yang sebelum ini mendapat kritikan penyokong.
Menariknya, dalam logo baharu ini turut mengekalkan pokok Melaka sebagai simbol negeri ini yang diletakkan dalam beberapa lapis bentuk heksagon, berlatar belakangkan warna merah, biru dan kelabu.
Majlis perasmian disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri, Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rostam di sebuah hotel di Melaka malam tadi (25 Februari 2022).
Hadir sama, Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin; Timbalannya, Datuk Mohd Yusoff Mahadi dan Presiden Persatuan Bola Sepak Melaka (MAFA), Datuk Nur Azmi Ahmad.
Untuk debut sulung di Liga Malaysia (Liga M), Melaka FC menggunakan khidmat pengendali berbangsa Portugis, Pedro Hipolito dengan misi layak ke Liga Super pada 2024.
Pasukan ini turut mendapatkan khidmat penyerang naturalisasi dari Johor Darul Ta'zim (JDT), Guilherme de Paula dan beberapa pemain tempatan seperti Idris Ahmad (Perak FC), Syahrul Azwari Ibrahim (Melaka United), Fakhrul Aiman Sidid (KL City) dan S. Veenod (Sarawak United).
Melaka FC akan membuka tirai saingan Liga M3 berdepan SAINS FC pada 4 Mac depan di laman sendiri.