IZHAM ISMAIL |
PERSATUAN Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) masih menunggu keputusan daripada Majlis Penyelesaian Resolusi Kebangsaan (NDRC) sebelum membawa kes Melaka United dan Sarawak United ke mahkamah sivil.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Izham Ismail berkata, NDRC akan menentukan jumlah akhir tunggakan enam bulan gaji pemain Melaka United yang sebelum ini dianggarkan RM2.3 juta.
"Untuk kes-kes yang tertunggak gaji, kita masih lagi menunggu keputusan NDRC dan sekiranya belum selesai, akan dibawa ke peringkat lebih tinggi iaitu mahkamah sivil.
"Kita sedang bersedia dan mempersiapkan PFAM. Ini antara (kes) yang pertama. Sebelum ini kita telah mendapat satu keputusan kes pemain-pemain Kuantan FA.
"Rentetan itu, kita juga akan melakukan yang sama untuk kes-kes yang lain supaya kebajikan pemain akan dapat terus terbela," katanya hari ini (21 Februari 2023).
Difahamkan mesyuarat NDRC akan diadakan pada minggu depan dengan nilai tunggakan gaji dijangka meningkat.
Pemain-pemain Melaka United menuntut pembelaan selepas berdepan masalah tunggakan gaji enam bulan yang mengakibatkan mereka dikejar pihak bank dan sebagainya kerana gagal menjelaskan komitmen bulanan.
Foto: PFA Malaysia