.

.

UTS tak sokong Melaka FC, kekal tunggu nasib Melaka United

ULTRAS Taming Sari (UTS) mengekalkan pendirian tidak menyokong kelab baharu, Melaka FC sebaliknya akan kekal setia menanti kelab tradisi, Melaka United yang kini diibaratkan digantung tidak bertali.

Menerusi satu kenyataan yang dimuat naik di akaun Facebook UTS sebaliknya melontarkan tiga persoalan yang masih menjadi tanda tanya sehingga kini mengenai Melaka United.

Antaranya adalah status semasa kelab tersebut, siapakah dalang di sebalik kemelut masalah gaji dan apakah perjanjian sebenar pemilikan kelab itu sebelum ini.

"Apabila bercakap soal kesetiaan, pasti akan terbit tentang pengorbanan. Tiada yang datang percuma, tiada yang datang secara tiba-tiba. Begitulah juga dengan kewujudan Ultras Taming Sari. Terbentuk kerana rela berkorban dan hadir atas dasar kesetiaan.

"Ultras Taming Sari masih lagi akan kekal menanti. Jika benar-benar mati, buktikan kematiannya. Jika berkubur, berikan kami tanda. 

"Jika hangus terbakar berikan kami abunya kerana inilah kelab yang telah kami beri janji sumpah setia, mengerah keringat, mengekor mereka kemana sahaja mereka pergi," katanya hari ini (20 Februari 2023).

Persatuan Bola Sepak Melaka (MAFA) menubuhkan kelab baharu, Melaka FC selepas pasukan tradisi, Melaka United disingkir daripada beraksi di Liga Super musim ini angkara masalah gaji.

Walau bagaimanapun, kedua-dua pasukan ini memohon kebenaran untuk beraksi di Liga M3 namun hanya satu pasukan, Melaka FC sahaja diterima masuk oleh Liga Bola Sepak Amatur (AFL).

Sementara itu, dalam hal berkaitan, UTS tidak menghalang penyokong Melaka atau komrad mereka untuk menyokong Melaka FC.

"Tiada halangan buat penyokong Melaka amnya juga kepada komrad untuk hadir sebagai penyokong dan penonton Melaka FC kerana kita semua sedar bola sepak telah sebati dalam diri. 

"Cuma tiada UTS dalam sokongan kepada Melaka FC. Yang hadir hanya individu yang merindui bola sepak Melaka.

"UTS akan terus wujud namun tidak akan bersama kelab lain kerana hanya ada satu Melaka yang pernah kita dukung, selayaknya kita dukung, ujarnya.

Foto: Sabah FC

Powered by Blogger.