Abdul Aziz Rahim meraikan jaringannya ketika membantu Melaka FC menundukkan Harini FT, 3-1 di Stadium Hang Jebat, malam tadi. Foto: Melaka FC |
Pemenang Kasut Emas Liga M3 musim lalu itu tidak menunggu lama untuk meledak gol pertama tuan rumah apabila menyempurnakan hantaran Khairul Anwar Shahrudin seawal minit ketiga.
Belum pun sempat pelawat memperkemaskan benteng pertahanan, gawang mereka bocor lagi pada minit ketujuh.
Mohd. Haziq Puad (kiri) kental mengemudi benteng pertahanan Melaka FC, musim ini. Foto: Melaka FC |
Gol tersebut terhasil daripada gerakan sepakan penjuru yang ditanduk Mohd. Haziq Puad kepada Zulkhairi Zulkeply yang kemudiannya menolak bola ke depan gawang sebelum disudahkan Azim menerusi satu kuisan mudah.
Pelawat bagaimanapun bangkit menyamakan kedudukan pada minit ke-21 menerusi tandukan Amierul Ismail, juga menerusi gerakan daripada sepakan penjuru untuk menjadikan kedudukan 2-1.
Zulkhairy Zulkeply (kiri) memintas gerakan pemain Harini FT dalam aksi Liga A1 Semi-Pro di Stadium Hang Jebat, malam tadi. Foto: Melaka FC |
Azim meledak gol ketiga Melaka FC pada minit ke-53 apabila berjaya melepasi perangkap ofsaid sebelum tenang menewaskan penjaga gol Harini FT, Mohamad Firdaus Yusof.
Kemenangan tersebut menyaksikan Melaka FC yang dibimbing K. Devan melonjak ke tangga kedua liga dan hanya dipisahkan menerusi perbezaan jaringan dengan pendahulu, Imigresen FC.
Melaka FC dijadual turun menentang UiTM United untuk aksi seterusnya di Stadium UiTM, Shah Alam, Sabtu ini.