Abdul Azim Rahim meneruskan aksi konsisten apabila meledak gol ketiga peribadi dalam tiga perlawanan untuk Melaka FC. Foto: Melaka FC |
MELAKA FC memintas Imigresen FC di puncak Liga A1 Semi-Pro selepas menunduk UiTM United, 2-0 di Stadium UiTM Shah Alam, malam tadi.
Bagaimanapun tempo perlahan dipamerkan kedua-dua pasukan sepanjang 30 minit pertama perlawanan apabila tidak banyak gerakan berbahaya dicipta namun ia bertambah rancak dalam baki 15 minit terakhir separuh masa.
Luqmanul Hakeem Norizam terlepas peluang meletakkan pelawat di depan pada minit ke-31 selepas rembatannya dari luar kawasan penalti sedikit melewati palang gol UiTM FC.
Selang tiga minit kemudian menyaksikan giliran UiTM FC menyerang apabila Zikry Mohd. Hafis berjaya melepasi kawalan tiga pemain Melaka FC namun percubaannya dari dalam kawasan penalti tepat ke dakapan penjaga gol, T. Shaheeswaran.
Pemain sayap Melaka FC, Durkesswaran dikawal ketat oleh pemain UiTM FC dalam aksi Liga A1 Semi-Pro di Stadium UiTM Shah Alam, malam tadi. Foto: Melaka FC |
Gol yang dicari akhirnya muncul pada minit ke-37. Ianya bermula daripada lontaran ke dalam kapten, Nasir Basharuddin tepat kepada Abdul Azim Rahim yang kemudiannya melepaskan satu rembatan kencang menerjah gawang tuan rumah.
UiTM FC terlepas peluang menyamakan kedudukan, tiga minit sebelum rehat selepas percubaan Ahmad Haikal Haziq ditepis keluar Shaheeswaran.
Babak kedua menyaksikan Melaka FC terus mengasak memburu gol kedua.
Minit ke-60 menyaksikan Abdul Azim terlepas dua peluang terbaik di depan gol dalam tempoh dua minit, satu peluang diselamatkan penjaga gol sementara satu lagi tandukannnya sedikit tersasar.
Usaha Melaka FC mencari gol kedua berhasil pada minit ke-70 selepas penyerang import, Fusseni Issah menyempurnakan hantaran pemain gantian, Nizaruddin Jazi untuk menjadikan kedudukan 2-0.
Nasir terus menambah derita tuan rumah menerusi gol ketiga apabila melepas rembatan kencang dari luar kawasan penalti ketika penjaga gol UiTM FC hanya sekadar memerhati.
Anak buah K. Devan berjaya mengekalkan kedudukan 3-0 sehingga tamat perlawanan sekali gus menyaksikan Melaka FC kembali ke puncak liga, memintas Imigresen FC menerusi perbezaan jaringan selepas kedua-dua pasukan mengutip 16 mata dalam enam perlawanan.