Penganjuran Liga Melaka sekadar asalkan ada?

Tangkap layar dimana pemain Hulubalang FC terpaksa mengangkat rakan sepasukan kerana tiada pengusung disediakan penganjur Liga Melaka.

"MINTA Stretcher (pengusung), stretcher tak ada."

Itu luahan yang diungkapkan penyokong yang hadir menyaksikan saingan Divisyen 1 Liga Melaka selepas pemain Hulubalang FC terpaksa mengangkat rakan sepasukan yang cedera untuk diusung keluar padang.

Agak menyedihkan apabila menyaksikan situasi seperti ini berlaku dalam liga utama yang dianjurkan sendiri oleh persatuan bola sepak negeri, seolah-oleh melepaskan batuk di tangga.

Situasi ini secara tidak langsung menunjukkan penganjur belum bersedia sepenuhnya untuk menganjurkan kejohanan yang membabitkan banyak pasukan sekali gus sehingga memaparkan pelbagai kekurangan.

Mengambil contoh aksi Divisyen 1 antara Hulubalang FC dan Teman FC petang semalam, jadual perlawanan tersebut tidak uar-uarkan di media sosial Persatuan Bola Sepak Melaka (MAFA).

Lebih menyedihkan, kejohanan ini dianjurkan secara asal boleh seakan 'friendly kampung' sekadar memastikan perlawanan berjalan mengikut jadual tanpa persiapan yang betul.

Pada aksi di Stadium Mini MMU, Bukit Beruang, tiada pembantu petugas kesihatan dengan pengusung disediakan di tepi padang, apatah lagi untuk menyaksikan kelibat ambulan sebagai persediaan kecemasan.

Selain itu, difahamkan penganjur hanya menyediakan sebiji bola sahaja untuk pertandingan di mana bola yang digunakan bukanlah bola rasmi yang diberikan Liga Bola Sepak Amatur (AFL) seperti yang digunakan penganjur Liga A3 yang lain.

Tangkap layar menunjukkan seorang kanak-kanak masuk bermain bola di dalam padang ketika perlawanan Divisyen 1 sedang berlangsung. Foto: Media Sosial

Dari aspek keselamatan juga tidak dititikberatkan apabila terdapat kanak-kanak dilihat bermain di dalam kawasan padang ketika perlawanan berlangsung serta pada waktu rehat separuh masa.

Menerusi tinjauan di ruangan komen mengenai hantaran Liga Melaka, terdapat beberapa rungutan yang mahu MAFA bertindak lebih baik dalam penganjuran Liga Melaka.

Perkara paling mudah yang dimahukan akan keputusan dan jadual perlawanan dimaklumkan di media sosial lebih awal dan sentiasa dikemaskini untuk makluman pasukan dan juga penyokong.

Masih di minggu kedua penganjuran, MAFA perlu memperbaiki segala kekurangan yang ada bagi memastikan Liga Melaka terus relevan dan mendapat sokongan daripada penyokong di negeri ini.