SBC FC menepati ramalan apabila berjaya melangkah ke final Liga Super Komuniti A3 Melaka selepas mengenepikan cabaran Desa Baru FC, 3-0 dalam aksi separuh akhir yang berlangsung di padang Universiti Teknologi Mara (UiTM) Lendu, Alor Gajah, pagi tadi.
Turun selaku pilihan, kelab berpangkalan di Muar itu mendahului seawal minit kelapan menerusi jaringan ketua pasukan, Muhammad Syafiq Abd. Samad.
Belum pun sempat Desa Baru memperkemaskan barisan pertahanan, gawang mereka bocor lagi selang lapan minit kemudian dan hasil penyudah Ibrahim Muhamat untuk menjadikan kedudukan 3-0.
Pemain simpanan, Muhammad Muhaimin Osman melengkapkan kemenangan bergaya SBC pada minit ke-70 sekali gus memastikan kelab tersebut mengekalkan rekod tanpa kalah dalam aksi Liga Super Komuniti A3 Melaka musim ini.
Selaku finalis, SBC layak secara automatik ke kejohanan Liga A2 Amatur musim depan.
Sementara itu, SBC dijadualkan menentang pemenang di antara Sg. Putat FC dan Serkam United FC yang bakal turun dalam satu lagi aksi separuh akhir petang ini untuk merebut satu lagi slot final dan dipromosi ke Liga A2 Amatur musim 2025.