Rekod tanpa kalah Melaka FC lebur selepas tumpas 0-1 kepada Putrajaya Athletic di Stadium Mini MPS, malam tadi. Foto: Melaka FC |
JARINGAN tunggal penyerang Putrajaya Athletic, Nurshamil Abdul Ghani menjadi pemusnah kepada rekod tanpa kalah Melaka FC dalam saingan Liga A1 Semi-Pro musim ini.
Dalam aksi di Stadium Mini Majlis Perbandaran Sepang (MPS) malam tadi, Melaka FC hampir di depan seawal minit kelima apabila sepakan leret Abdul Azim Rahim diselamatkan penjaga gol, Nik Amin Ahmad.
Pelawat terus garang memburu gol awal dan pada minit ke-15 menyaksikan Nik Amin muncul wira Putrajaya Athletic apabila menepis sepakan voli Luqmanul Haqeem Norizam.
Azim yang merupakan pemenang Kasut Emas Liga M3 musim lalu sekali lagi terlepas peluang berharga apabila percubaannya dari dalam kawasan penalti sedikit tersasar.
Kapten Melaka FC, Nasir Basharudin cuba dihalang oleh pemain Putrajaya Athletic dalam aksi Liga A1 Semi-Pro di Stadium Mini MPS, malam tadi. Foto: Melaka FC |
Kelekaan Melaka FC memburu gol pendahuluan dihukum tuan rumah apabila Nurshamil melepaskan rembatan cantik dari luar kawasan penalti sekali gus menewaskan T. Shaheeswaran.
Skuad bimbingan K. Devan itu terus menggandakan asakan sejurus babak kedua bersambung.
Pada minit ke-49 menyaksikan sepakan percuma Azim sekadar singgah di palang gol Putrajaya Athletic sebelum tindakan susulan selepas itu jauh tersasar.
Tuan rumah turut berpeluang menggandakan jaringan pada minit ke-52 namun rembatan pemain sayap, Syazwan Zainon sedikit melepasi palang gol Melaka FC.
Aksi tegang dalam 30 minit terakhir mewarnai perlawanan antara Putrajaya Athletic dan Melaka FC di Stadium Mini MPS, malam tadi. Foto: Melaka FC |
Perlawanan tambah panas selepas itu dengan beberapa insiden membabitkan pemain kedua-dua pasukan yang menyaksikan siri layangan kad oleh pengadil.
Putrajaya Athletic bagaimanapun berjaya mempertahankan kelebihan yang dimilikinya sehingga 90 minit perlawanan sekali gus merekodkan kemenangan keempat dalam tujuh perlawanan liga musim ini.
Sementara itu, Melaka FC kekal di tangga kedua liga, ketinggalan tiga mata berbanding pendahulu, Imigresen FC yang kini mengutip 19 mata selepas merekodkan enam kemenangan dan satu seri sehingga kini.
'