KETIADAAN kelibat gadingan serangan, Fusseni Issah dan penjaring terbanyak Liga A1 Semi-Pro, Abd. Azim Rahim yang digantung susulan mengutip dua kad kuning tidak begitu dirasai Melaka FC selepas berjaya menundukkan Malaysian University, 2-0, di Stadium Hang Jebat, malam tadi.
Susulan itu, K. Devan melakukan perubahan dengan menyenaraikan Zulkifli Zakaria untuk mengetuai jentera serangan bersama-sama pemain sayap lincah, Nizaruddin Jazi.
Melaka FC mendominasi di awal permainan tetapi kesilapan pemain pertahanan, Mohd. Haziq Puad hampir dihukum pada minit ke-17 namun percubaan Malaysian University sekadar singgah di tepi jaring gol.
Tersentak dengan itu, Melaka FC mula mengatur serangan yang menyaksikan Zulkifli terlepas dua peluang berharga dalam tempoh dua minit.
Peluang pertama hadir pada minit ke-21 apabila beliau yang tidak dikawal gagal menanduk kemas hantaran Nizaruddin di depan gawang Malaysian University.
Tidak sampai seminit kemudian, hantaran Muhammad Fikri Mohamed Shah dikuis Zulkifli di depan gawang namun bola tersebut sedikit tinggi melewati palang.
Gol yang ditunggu Melaka FC akhirnya hadir pada minit ke-36 apabila Zulkifli yang ditugaskan mengambil sepakan penalti mudah menewaskan penjaga gol, Syed Irfan Syafiq Syed Mohd. Ikmal.
Melaka FC terus garang memburu jaringan di separuh masa kedua pada minit ke-49 menyaksikan tandukan pemain import, Michael Ozor dari dalam kawasan penalti sedikit tersasar.
Hafiz Mohd. Johar (kiri) menghalang cubaan pemain Malaysian University dalam aksi Liga A1 Semi-Pro di Stadium Hang Jebat, malam tadi. Foto: Melaka FC |
Tuan rumah terlepas peluang keemasan menggandakan jaringan pada minit ke-59 apabila Muhammad Fikri berjaya melepasi perangkap ofsaid namun sungkitan pemain sayap itu sedikit tersasar ketika penjaga gol sudah tertewas.
Pada minit ke-84 menyaksikan Syed Irfan Syafiq bertindak cemerlang menafikan dua percubaan Michael menerusi sepakan penjuru untuk memastikan gawangnya tidak dibocori buat kali kedua.
Ketika perlawanan menuju ke penghujung, pemain gantian, Royizzad Daud meledak gol kedua Melaka FC menerusi gerakan satu dua menarik pada waktu kecederaan untuk memastikan tiga mata penuh milik tuan rumah.
Kemenangan ini menyaksikan Melaka FC memintas Imigresen FC di kedudukan teratas Liga A1 Semi-Pro selepas mengutip 22 mata daripada sembilan perlawanan.
Bagaimanapun, Imigresen FC yang dibimbing Mat Zan Mat Aris mampu memintas semula sekiranya menang ke atas Armed Forces FC, petang esok.