Gaji skuad Sukma Melaka tertunggak?

Pasukan bola sepak Melaka melakar kejutan mara ke final Sukma Sarawak XXI, baru-baru ini. Foto: MAFA

 Mereka sudah berikan yang terbaik dalam kejohanan bola sepak Sukan Malaysia (Sukma) di Sarawak baru-baru ini, namun, pengorbanan mereka seolah-olah tidak bererti apabila gaji mereka didakwa masih lagi belum dilunaskan.

Menurut sumber, pemain dan pegawai pasukan skuad Sukma Melaka yang rata-ratanya dibarisi skuad Piala Presiden didakwa masih belum menerima gaji mereka sejak Jun.

"Gaji yang tertunggak adalah bagi Jun dan Julai namun Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) meminda jadual perlawanan sehingga ke Ogos.

"Tidak pasti sama persatuan ingin membayar gaji penuh atau elaun untuk bulan lepas," katanya kepada Melaka United Media hari ini.

Media sebelum ini melaporkan, elaun bagi skuad Piala Presiden dan Piala Belia tidak dibayar bagi Mei dan Jun.

Keadaan itu nyata tidak menyenangkan sekali gus memberikan impak terhadap prestasi pasukan sepanjang kempen peringkat kumpulan saingan musim ini.

Namun, di dalam kesuraman yang melanda, Melaka mencipta kejutan apabila mara ke final Sukma Sarawak XXI termasuk menewaskan juara bertahan, Terengganu di separuh akhir.