Pendahulu Liga A1 Semi Pro, Melaka FC bersedia memberikan saingan dalam kancah Piala Malaysia musim ini apabila dua pemain import baharu bagi memperkuatkan pasukan.
Skuad bimbingan K. Devan itu hari ini mengumumkan penyertaan seorang pemain tengah dan seorang lagi pertahanan ke dalam pasukan itu yang akan berdepan Terengganu FC, di Stadium Hang Jebat, Sabtu ini.
Melaka FC mengikat pemain pertahanan import berusia 28 tahun, Rodrigue Nanitelamio yang merupakan ejen bebas.
Pasukan yang terakhir diwakili pemain kelahiran Montmorency, Paris itu adalah kelab Liga Premier Malta, Gudja United pada musim 2023-24.
Sementara itu, pemain tengah, Oumar Bangoura bakal memperkuatkan jentera tengah Melaka FC bersama pemain import sedia ada, Michael Ozor yang bertindak selaku pemain tengah bertahan.
Seorang lagi pemain import yang beraksi bersama Melaka FC adalah penyerang dari Ghana, Fuseini Issah yang membentuk gandingan serangan berbisa di Liga A1 Semi Pro bersama Azim Rahim.
Pemilik kelab, Datuk Nur Azmi Ahmad berkata, kemasukan dua pemain import baharu itu bakal menambah kekuatan pasukan bagi menyaingi kekuatan kelab-kelab dari Liga Super untuk saingan Piala Malaysia.
"(Kemasukan pemain import ini) bagi memberikan tentangan hebat (kepada kelab Liga Super) daripada Liga A1, kita cuma ada dua pemain import.
"Dengan penambahan dua lagi (pemain import) ini saya berasa lebih selesa untuk kita menunjukkan melihat bagaimana kita bermain dengan pasukan lebih hebat pada aksi Piala Malaysia nanti," katanya menerusi video hari ini.