Shukor angkat kaki


Teka-teki pengguguran kapten, Mohd Shukor Adan ketika bertemu Pahang malam tadi terjawab apabila Zainal Abidin Hassan mengesahkan pemain memakai jersi nombor 12 itu sudah tawar hati bersama pasukan.

Jelas Zainal, Mohd Shukor telah menetapkan pendirian untuk tidak menyarung jersi Sang Kancil pada perlawanan berkenaan dan pada aksi timbal balik 29 September depan.

Tugas selaku kapten malam tadi digalas sementara arkitek tengah Melaka United, Safiq Rahim.

Mohd Shukor dipercayai ‘merajuk’ susulan isu membabitkan tunggakan gaji yang diluahkannya menerusi laman Instagram sebelum itu disahkan pengurus pasukannya, Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi, tempoh hari.

“Dia tidak ada, secara jujurnya dia tak nak main,mungkin hatinya tidak pada perlawanan hari ini.

“Saya menghormati keputusan beliau dan menerimanya dan memainkan (menggantikan posisi Mohd Shukor) Mohd Razman Roslan.

“Untuk perlawanan seterusnya juga kita masih tak tahu, nak main atau tidak, masih ada seminggu untuk menyediakan pasukan,” katanya pada sidang media selepas tewas 0-3 kepada Tok Gajah di laman sendiri, semalam.

Mengulas mengenai kekalahan itu, Zainal menjelaskan kehilangan fokus pada detik lima minit selepas gol pertama hasil jaringan awang import pelawat Lazarus Kaimbi menjadi punca kepada detik ngeri yang dilalui.

“Separuh masa pertama kita bermula baik, tetapi, konsentrasi di lima minit itu telah memusnahkan kita,” katanya.

MU membawa bekalan kurang selesa menentang skuad bimbingan Dollah Salleh, selepas dibolosi tiga kali dalam tempoh lima minit.