Melaka United rampas kembali tahta Liga Perdana


KUALA LUMPUR 16 Julai - Melaka United kembali ke persada Liga Perdana memintas JDT II selepas berjaya menundukkan tuan rumah, Kuala Lumpur, 2-1, di Stadium Selayang, malam tadi.

Turun dengan misi tiga mata penuh, anak buah Mat Zan Mat Aris terlebih dahulu tersentak dengan asakan bertali arus tuan rumah yang mahu mengulangi kejayaan menyingkirkan Melaka United dalam saingan Piala FA di gelanggang sama awal musim ini.

Melaka United yang turun tanpa tonggak pertahanan import, Alex Tudose berjaya menyerap asakan Kuala Lumpur.

Kelemahan jentera tengah dalam 35 minit pertama bagi menghasilkan gerakan menarik kepada penyerang, Illija Spasojevic dan Yashir Pinto membataskan pergerakan pelawat.

Namun, kealpaan benteng pertahanan Kuala Lumpur pada minit-minit akhir babak pertama dihukum Spasojevic apabila penyerang berasal dari Montenegro berjaya melepasi perangkap offside sebelum menewaskan penjaga gol lawan untuk gol pertama Melaka United.


Selepas rehat, kedua-dua pasukan saling mengatur gerakan namun Melaka United dilihat mendominasi perlawanan terutama gerakan cantik yang dicipta jentera tengah yang diketuai oleh Labinot Harbuzi atau Labi.

Melaka United memperolehi gol kedua pada minit ke-56 sekali lagi menerusi Spasojevic yang melakukan sepakan menarik selepas menerima hantaran Labi yang berpunca daripada sepakan percuma dari sebelah kiri gawang gol tuan rumah.

Kuala Lumpur cuba bangkit selepas itu namun hanya berjaya memperoleh satu gol menerusi sepakan percuma cantik pemain pertahanan, Leonardo Moriera pada minit ke-80.


Kemenangan berharga ini meletakkan Melaka United di tangga teratas Liga Perdana dengan 30 mata daripada 13 perlawanan meninggalkan JDT II di tangga kedua, (28 mata) dan PKNS FC ketiga (26).

Melaka United akan berdepan Negeri Sembilan di Paroi Selasa ini bagi aksi kedua saingan Piala Malaysia. Ayuh gegaukan Paroi!



Foto: Bernama