.

.

Kekal rekod tanpa kalah aksi pramusim


TUGAS berat menanti pengendali Melaka United, Eric Williams bagi membentuk satu pasukan yang ampuh biarpun dalam tiga awal perlawanan pramusim ini menyaksikan skuad bimbingannya mengekalkan rekod tanpa kalah.

Harus diingat, ketiga-tiga lawan yang ditempuh bukanlah pencabar untuk Liga Super musim depan sebaliknya aksi menentang pasukan-pasukan berkenaan merupakan medan membentuk keserasian dalam kalangan pemain serta menerapkan taktikal yang dirangka jurulatih.

Dalam aksi menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) II malam tadi jelas memperlihatkan masih kurang persefahaman antara pemain terutama di setiap bahagian sehingga memberi tekanan kepada rakan sepasukan yang akhirnya menghadiahkan gol mudah kepada lawan.

Di bahagian pertahanan, tiada komunikasi yang baik antara back four dan penjaga gol sementara di jentera tengah pasukan masih lagi memerlukan kerjasama yang baik antara mereka seperti Khairu Azrin Khazali, Ezrie Shafizie dan Syed Sobri Syed Muhammad.

Kapten, Ilija Spasojevic yang digandingkan dengan Izzaq Faris Ramlan pula dilihat masih cuba membentuk keserasian namun dengan corak permainan atau peranan yang sama dimainkan kedua-dua pemain, mungkin sukar menyaksikan mereka beraksi bersama di masa depan.

Pada babak kedua, Melaka United lebih banyak menguasai perlawanan dan memperoleh deretan peluang menerusi Mohd. Fauzi Roslan, Mohd. Amri Yahyah, Jasmir Mehat dan Sergio Aguero.

Gol tunggal Melaka United disumbangkan oleh Spasojevic yang menolak mudah hantaran Amri pada minit ke-67.

Secara umumnya, masih ada masa buat Williams mencari kesebelasan terbaiknya menerusi aksi persahabatan dan jelajah ke Kemboja nanti.

Mungkin apabila tonggak import, Omid Nazari dan Sergio Aguero kembali pulih sepenuhnya dapat membantu pasukan dalam menghadapi kempen liga yang lebih mencabar musim depan. 

Teguh bersama pasukan dan teruskan menyokong Melaka United.

Foto: MUSA
Powered by Blogger.