MELAKA United membuka kempen Liga Super dengan mengutip satu mata berharga selepas berjaya mengikat tuan rumah, Selangor, 1-1 dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Selayang, malam tadi.
Ketua Jurulatih, Eric Williams membariskan beberapa muka baharu seperti Badrulzaman Abd. Halim sebagai benteng terakhir, Godwin Antwi, Khairu Azrin Khazali, Syed Sobri Syed Mohamad, Sergio Aguero dan Amri Yahyah dalam kesebelasan utama.
Tidak banyak serangan berbahaya yang diatur kedua-dua pasukan pada babak pertama namun Melaka United terlebih dahulu menguji penjaga gol Selangor, Norazlan Razali di gawang menerusi sepakan percuma Ahmad Khuzaimi Piee.
Tuan rumah cuba mengatur gerak menerusi S. Venood dan cubaan Francic Forkey Doe yang diselamatkan di atas garisan oleh pertahanan, G. Puaneswaran.
Separuh masa kedua menyaksikan kedua-dua pasukan saling mengatur gerak dan pasukan pelawat terlebih dahulu berada di depan pada minit ke-68 apabila pemain tengah, Khairu Azrin merembat cantik dari luar kotak ke penjuru kanan gol Norazlan sekali gus memberikan gol pertama pasukan musim ini.
Selangor cuba bangkit selepas itu dengan membawa masuk penyerang, Muhammad Afiq Azmi dan K. Kannan.
Percaturan yang dilakukan P. Maniam itu berhasil apabila tuan rumah berjaya menyamakan kedudukan menerusi tandukan tonggak import, Victor Astafei yang berpunca daripada sepakan penjuru pada minit ke-81.
Satu mata penting dari Stadium Selayang merupakan tonik berharga buat anak buah Williams yang selepas ini akan turun menentang Perak di Stadium Ipoh pada 4 Februari ini.
MELAKA UNITED XI: Badrulzaman (PG), Puaneswaran, Khair, Antwi, Khuzaimee (62' Woo Young), Syed Sobri, Ezrie, Khairu Azrin (75' Faizal), Amri, Aguero (87' Fauzi), Spasojevic
Gol: Khairu Azrin 69'
MELAKA UNITED XI: Badrulzaman (PG), Puaneswaran, Khair, Antwi, Khuzaimee (62' Woo Young), Syed Sobri, Ezrie, Khairu Azrin (75' Faizal), Amri, Aguero (87' Fauzi), Spasojevic
Gol: Khairu Azrin 69'
Foto: MUSA