.

.

Dua gol Woo-Young cerahkan peluang ke suku akhir


CEMAS sebelum raih tiga mata berharga. Itulah skrip yang dipamerkan dalam pertembungan perlawanan kelima kumpulan C Piala Malaysia melibatkan Kelantan melayan kunjungan Melaka United di halaman sendiri, malam tadi.

Biarpun mendahului tiga gol pada babak pertama, Melaka United mengharungi separuh masa kedua yang mendebarkan apabila tuan rumah melancarkan serangan bertali arus sehingga menyebabkan pertahanan bocor dua kali.

Keadaan kelam kabut dalam kotak penalti Kelantan ketika menentang Melaka United.
Dalam aksi di Stadium Sultan Muhammad V malam tadi, Melaka United terlebih dahulu berada di depan menerusi pemain import dari Korea Selatan, Jeon Woo-Young seawal minit kelima permainan.

Woo-Young meraikan jaringan bersamanrakan sepasukan, Marco Simic (kiri) dan Ahmad Ezrie Shafizie (kanan).
Woo-Young sekali lagi menjadi duri dalam daging buat The Red Warriors apabila meledak jaringan kedua peribadinya dalam perlawanan pada minit ke-30.

SIMIC meletakkan Melaka United selesa 3-0 di hadapan sebelum berakhirnya separuh masa pertama.
Belum pun sempat Kelantan memperkemaskan benteng pertahanan, gawang tuan rumah bocor lagi apabila penyerang, Marco Simic meledak jaringan pada minit ke-32 sekali gus meletakkan Melaka United selesa di hadapan sebelum wisel rehat ditiupkan.

The Red Warriors berjaya mengurangkan defisit gol pada babak kedua menerusi jaringan penyerang, Mohd. Khairul Izuan Rosli pada minit ke-50, berpunca daripada serangan bertali arus yang dilancarkan tuan rumah sejak babak kedua bermula.

Mohd. Fauzi Roslan (kanan) cuba dihalang pergerakannya oleh pertahanan Kelantan.
Beraksi di atas padang licin, pertahanan Melaka United terus menyerap serangan bertali arus Kelantan dan pada minit ke-86, tuan rumah menghidupkan kembali peluang apabila memperoleh gol kedua menerusi pertahanan import, Momadou Futty Danso.

Simic dikawal ketat Momadou Danso sepanjang perlawanan.
Suasana mendebarkan di Stadium Sultan Muhammad V terus menyelubungi penyokong hadir apabila serangan demi serangan Kelantan berjaya dipatahkan pertahanan Melaka United dan keputusan kekal bagi memberikan pelawat kemenangan ketiga kempen Piala Malaysia.


Kemenangan ini meletakkan Melaka United di tangga kedua kumpulan C dengan enam mata, tiga mata mendahului Kelantan bagi merebut tempat ke suku akhir.

Untuk layak, Melaka United perlu sekurang-kurangnya seri menentang UiTM FC di Stadium UiTM, Shah Alam untuk aksi terakhir kumpulan.

Foto: MUSA
Powered by Blogger.