.

.

Jersi putih, hilangkah identiti hijau Melaka United?


Hilangkah identiti pasukan Melaka United apabila jersi utamanya seolah-olah 'dirogol' ditukar kepada warna putih? 

Mengapa putih dipilih berbanding warna tradisi pasukan, hijau gelap yang dikatakan cukup sinonim dengan Melaka United.

Apabila dilancarkan jersi musim 2019 hari ini, jersi putih dengan dua garisan hijau menegak di bahagian depannya tampak bergaya dikenakan beberapa pemain termasuk penyerang prolifik, Anselmo Arruda 'Casagrande' da Silva.

Beberapa penyokong yang hadir ke pusat beli belah Melaka Mall menjerit ke arah pentas membantah tindakan tersebut apatah lagi melihat jersi berwarna hijau gelap dijadikan jersi kedua dan kuning bagi jersi alternatif.

Warna tradisi itu dikatakan 'diragut' oleh pengurusan Persatuan Bola Sepak Melaka United (MUSA) kerana mengubahnya tanpa mendapatkan pandangan penyokong.


Untuk rekod, pada 2014 sekumpulan penyokong tegar Melaka United tekad menyebarkan risalah menuntut agar dikekalkan warna hijau pada aksi persahabatan antara Era FC dan Arena All Starz di Stadium Hang Jebat.


Langkah tersebut ternyata berbaloi apabila hasrat menjenamakan semula pasukan Melaka kepada Melaka United tidak mengganggu warna tradisi pasukan.

Namun begitu, jika dilihat sepanjang 15 tahun terbaharu, hanya 10 musim mengenakan jersi berwarna hijau atau hijau-putih manakala lima tahun lain menggunakan warna lain.


Pada 2005, Melaka menggunakan warna hijau-kuning, kuning dua musim (2006, 2007), putih (2008), biru (2009) dan merah (2010).

Untuk tiga musim di Liga FAM pula, Melaka mengenakan jersi berwarna hijau terang pucuk pisang 2011 hingga 2013.

Apakah tindakan pengurusan kali ini 'melampau' dan hampir membunuh identiti pasukan Melaka United?


Secara prinsipnya sememangnya bertentangan dengan warna tradisi Melaka tetapi dengan gabungan garisan hijau pada tengahnya, jersi tersebut masih boleh dikategorikan sebagai putih-hijau.

Jika dilihat dalam tempoh 15 tahun ini, sebenarnya pengurusan mungkin boleh mempertimbangkan menukar kedudukan jersi utama dan kedua sebelum bermulanya kempen Liga Malaysia.


Apa agaknya perasaan penyokong Melaka United apabila pasukan itu melayan kunjungan Selangor dan PKNS FC yang mengenakan jersi kedua mereka yang berwarna hijau di Stadium Hang Jebat? 
Powered by Blogger.