.

.

Velez ganti Casagrande?


Penyerang dari Argentina, Nicholas Velez dilaporkan bakal menjadi pengganti Anselmo Arruda 'Casagrande' da Silva yang dipinjamkan ke Pulau Pinang.

Velez beraksi sebagai penyerang kedua atau sayap kanan itu sebelum ini beraksi bersama kelab Portugal, Belenenses, Negeri Sembilan, Suphanburi (Thailand) dan beberapa lagi pasukan.

Penyerang berusia 29 tahun itu pernah beraksi di Liga Super bersama Negeri Sembilan dan menjaringkan lapan gol daripada 14 penampilan bersama pasukan jiran itu.

Ketua jurulatih, Zainal Abidin Hassan baru-baru ini memberikan bayangan seorang pemain dari Argentina akan menyertai Melaka United bagi menggantikan dua kekosongan kuota import selepas Casagrande dan Darko Markovic meninggalkan pasukan.


Ketika ini, Melaka United hanya mempunyai tiga pemain import seperti Luka Milunovic dari Serbia, Jang Suk-won (Korea Selatan) dan Patrick Reichelt (Filipina).

Satu kuota import dijangka diisi Velez sementara satu lagi belum dapat dipastikan.

Difahamkan, kontrak pemain tengah, Liridon Krasniqi masih belum ditamatkan biarpun pemain tengah itu mengambil masa yang lama untuk pulih daripada kecederaan peha.

Dengan keadaan kewangan pasukan ketika ini, Melaka United mungkin memberikan semula tempat kepada Liridon atau membiarkan kuota tersebut kosong sehingga akhir musim.
Powered by Blogger.