Zainal Abidin Hassan menyerahkan sepenuhnya kepada Persatuan Bola Sepak Melaka United (MUSA) berkaitan isu tunggakan gaji.
Ketua jurulatih Melaka United itu berkata, fokusnya kini terarah kepada persiapan skuad berdepan Pahang pada suku akhir Piala Malaysia Ahad ini.
Menurutnya, dia yakin dengan kewibawaan pengurusan untuk semua proses berkenaan dan tidak mahu campur tangan.
“Pengurusan menjalankan tugasan dengan baik. Setiap orang mempunyai tugas masing-masing yang perlu dilaksanakan.
“Malah, kami bekerja keras untuk kemajuan pasukan dan bersama-sama menjalankan tugas dengan paling penting fokus suku akhir perlu diutamakan buat saya ketika ini," katanya dipetik dari Berita Harian Online hari ini.
Melaka United Media semalam melaporkan di sebalik keceriaan layak ke suku akhir Piala Malaysia, skuad Hang Tuah itu dibelenggu masalah tunggakan dua bulan gaji.
Perkara itu bukan khabar angin sebaliknya pengurusan pasukan tampil mengakui bahawa mereka berhutang dua bulan gaji kepada semua pemain.
Pengurus pasukan, Datuk Mohd. Yusoff Mahadi berkata, dia berharap kejayaan layak ke suku akhir Piala Malaysia akan membuatkan penaja menyuntik dana seperti yang dijanjikan sebelum ini.
Menurutnya, Presiden yang juga Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari sebelum ini juga sudah menyatakan kesediaan penaja untuk melunaskan janji mereka dan ia diharap menjadi kenyataan dalam tempoh terdekat.
“MUSA sedang berusaha untuk melunaskan masalah tunggakan gaji yang dihadapi pemain. Mereka (pemain) sudah mencapai Indeks Petunjuk Prestasi (KPI) dengan layak ke suku akhir dan kami harap penaja akan membuktikan komitmen mereka pula,” katanya.