.

.

Tunggakan gaji: Melaka United berdepan pemotongan mata


Melaka United, PDRM dan Kelantan berdepan hukuman pemotongan mata Liga Malaysia jika gagal menyelesaikan masalah tunggakan gaji pemain dan pegawai pasukan pada 31 Januari ini.

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam berkata, FAM telah mengeluarkan surat kepada tiga pasukan berkenaan semalam dengan memberikan tempoh dua minggu bagi melangsaikan hutang atau mencapai persetujuan pelan penyelesaian tunggakan bersama pemain atau pegawai yang terbabit.

Namun, jika mana-mana pasukan itu didapati gagal berbuat demikian pada tarikh akhir yang ditetapkan, masing-masing akan dikenakan hukuman pemotongan tiga mata serta merta.

Bagaimanapun, kata Stuart, tiada sebarang hukuman pemotongan mata akan dikenakan jika tunggakan gaji berkenaan dapat diselesaikan sepenuhnya atau persetujuan bersama di antara pasukan dan pemain/pegawai berjaya dicapai sebelum atau pada 31 Januari.


Tambah beliau, andai isu itu gagal diselesaikan sehingga tarikh akhir kedua yang ditetapkan pada 28 Februari, pasukan berkenaan akan dikenakan pula hukuman tambahan sebanyak enam mata lagi.

"Selepas itu, jika tetap tidak dapat diselesaikan pada tarikh akhir ketiga yang ditetapkan pada 30 Mac, pasukan berkenaan akan dikeluarkan terus secara serta merta dari Liga Super (Melaka United dan PDRM) dan Liga Premier (Kelantan).

"Mana-mana pasukan terlibat yang telah mencapai persetujuan pelan penyelesaian tunggakan bersama pemain atau pegawai yang terbabit sebelum tarikh akhir pertama yang ditetapkan, mereka tetap boleh dikenakan hukuman pemotongan tiga mata secara serta merta pada bila-bila masa jika didapati melanggar atau tidak membayar tunggakan kepada pemain atau pegawai berkenaan mengikut tarikh-tarikh yang telah pun dipersetujui.

"FAM berharap agar ketiga-tiga pasukan ini memberi perhatian serius dan perlu mematuhi keperluan ini sebelum tarikh akhir pertama jika tidak mahu dipotong sebarang mata," katanya menerusi kenyataan hari ini.

Foto: MUSA
Powered by Blogger.