.

.

Piala Malaysia: Melaka United 'bungkus' awal

https://drive.google.com/uc?export=view&id=1nNM6J9yg-0oDct0qe2n2YI7SmWABkrxM
Usahkan final, suku akhir pun tak lepas. Melaka United 'bungkus' awal musim ini selepas tumpas 1-2 kepada Selangor di Stadium Hang Jebat malam tadi.


Kekalahan ini meleburkan impian penyokong Melaka United yang mahu melihat pasukan itu melangkah jauh di kempen Piala Malaysia selepas aksi longlai dipamerkan di penghujung aksi Liga Super 2020.


https://drive.google.com/uc?export=view&id=1XyGB8t8-nIJWX0ut_znMPmarYnaxdKGu


Menentang Selangor, Zainal Abidin melakukan perubahan taktikal apabila bermain dengan formasi 3-4-3 dengan meletakkan Jang Suk-won bermain 'back three' bersama Annas Rahmat dan Mohd Akmal Zahir.


Agak mengejutkan apabila ketua pasukan, Safiq Rahim dan Ahmad Syamim Yahya bermula dari bangku simpanan dengan Zainal Abidin cenderung memilih Romel Morales dan Saiful Ridzuwan Selamat untuk mengemudi bahagian tengah.


Aksi malam tadi menyaksikan Selangor mendapat peluang awal berada di depan namun tandukan penyerang import, Ifedayo Olusegun sedikit melepasi gawang gol Khairul Fahmi Che Mat pada minit keempat.


Usaha Selangor memburu gol berhasil pada minit ke-20 apabila gerakan serangan balas pantas tuan rumah menyaksikan Ifedayo yang tidak dikawal mudah menyempurnakan hantaran silang Wan Zack Haikal menewaskan Khairul Fahmi di gawang Melaka United.


https://drive.google.com/uc?export=view&id=1zbGjzK8oewD8ZKn_pXocQcME3Cv9Nkx0


Minit ke-36 menyaksikan cubaan Uche Agba dari dalam kotak penalti diselamatkan oleh penjaga gol Selangor, Khairul Azhan. 


Skuad Red Giant menggandakan jaringan tujuh minit selepas babak kedua bersambung apabila melepas satu sepakan voli cantik hasil lambungan Ifedayo.


https://drive.google.com/uc?export=view&id=1k-H6GAa7ADxB50iJ9pXZhoEvpw4R7z53


Gol tersebut membangkitkan semangat juang anak buah Zainal Abidin apabila kembali merapatkan jurang menerusi tolakan mudah Uche Agba yang tidak dikawal pada minit ke-56.


Sony Norde terlepas peluang terbaik menyamakan kedudukan pada minit ke-62 namun percubaan leretnya ditepis Khairul Azhan.


Selang seminit kemudian menyaksikan Khairul Azhan bertindak cemerlang apabila menepis tandukan tajam Wan Amirul Afiq Wan Abdul Rahman.


https://drive.google.com/uc?export=view&id=1T8I8G-V0yAmFHIcPJianlWG8rlWLOZbV


Khairul Anwar Shahruddin hampir menggegar gawang Khairul Azhan namun percubaan deras pertahanan itu berjaya ditepis keluar penjaga gol Selangor itu bagi memastikan pasukan itu kekal satu gol di depan.


Kedudukan 2-1 kekal sehingga wisel penamat dibunyikan sekali gus mengakhiri kempen mengecewakan Melaka United dalam kesemua kejohanan bagi musim 2020.
Foto: MUSA

Powered by Blogger.