.

.

Bukan salah Zainal Abidin sepenuhnya - Lim


Keadaan dan situasi yang tidak memihak kepada Zainal Abidin Hassan disifatkan sebagai punca kepada kemerosotan serta prestasi hambar yang dicatatkan Melaka United musim ini.


Pemilik kelab, Datuk Seri Justin Lim berkata, beliau secara peribadi bagaimanapun tidak meletakkan kesalahan di bahu ketua jurulatih itu meskipun keputusan yang dicatat kelab agak mengecewakan.


Namun kata beliu, kedudukan Zainal Abidin hanya akan diputuskan dalam mesyuarat bersama pengurusan dan pemegang taruh yang lain dalam masa terdekat.


“Memang kita kecewa dengan keputusan sebab merasakan kita boleh lakukan lebih baik. Tapi untuk jadi lebih adil, kita tidak boleh menyalahkan jurulatih untuk segala-galanya.


“Dengan barisan pemain yang dia miliki sebelum ini, selain pelbagai masalah seperti gaji dan lain-lain itu mungkin menjadi penyumbang kepada kejatuhan moral seluruh pasukan yang mana kita akan berusaha keras untuk mengatasi masalah ini,” katanya kepada MelakaKini hari ini.


Melaka United kini berada di zon penyingkiran, tempat ke-11 daripda 12 pasukan Liga Super selepas mengharungi 13 perlawanan.


Skuad hijau putih itu sebelum ini kehilangan tiga mata berharga selepas dipotong gara-gara gagal menjelaskan penstrukturan semula pembayaran gaji tertunggak pemain musim lalu.

Powered by Blogger.