Hanya satu mata memisahkan Melaka United untuk terus kekal di Liga Super musim depan.
Namun, tugas sukar pastinya menanti anak buah Zainal Abidin Hassan apabila melayan kunjungan Perak FC malam ini.
Skuad Bos Gaurus yang kini berada di zon penyingkiran berada dalam keadaan cukup genting memerlukan kemenangan dalam baki dua aksi terakhir mereka musim ini.
Kegagalan mencatat kemenangan ke atas Melaka United malam ini bakal menyaksikan skuad bimbingan Shahril Nizam Khalil itu tersingkir dari Liga Super.
Pemain Perak FC kelmarin pula mendapat tonik terbaik selepas pengurusan kelab dilaporkan telah melunaskan tunggakan gaji pemain dan pegawai pasukan.
Usah melihatkan apa yang berlaku di kem lawan, Zainal Abidin seharusnya berhenti memberi alasan dan memastikan tiga mata penuh menjadi milik Melaka United.
Penyokong mahukan kemenangan dan bukannya alasan.
Jadi, pasukan perlu dipersiapkan sehabis baik bagi memastikan kemenangan di Stadium Hang Jebat sekali gus memastikan Melaka United kekal di Liga Super.
Prestasi hambar dicatatkan Melaka United dalam lima perlawanan terdahulu apabila sekadar merekodkan tiga seri dan dua kekalahan.
Jika gagal malam ini, tugas skuad hijau putih pastinya berdepan ranjau berduri apabila berdepan skuad Lang Merah di Stadium Darulaman bagi aksi terakhir liga.
Menang sekarang atau pilih jalan sukar?