Enggan skrip sama berulang saban tahun, Melaka United dijangka bakal memberikan saingan kejuaraan musim depan dengan berbelanja besar dengan memburu pemain import dan tempatan berkualiti.
Pemilik kelab, Datuk Wira Justin Lim Hwa Tat berkata, kelab itu juga bercadang menaiktaraf fasiliti latihan bagi meningkatkan kualiti pasukan serta melahirkan lebih ramai bakat dari negeri Melaka.
"Kami ingin memantapkan lagi pasukan dengan mendapatkan pemain tempatan dan import berkualiti serta mampu memperkuatkan lagi pasukan di setiap posisi.
'Kami juga berhasrat mengeluarkan sejumlah peruntukan khusus bagi menaiktaraf pasukan antaranya menambahbaik fasiliti latihan pasukan termasuk peralatan latihan dan sebagainya," katanya menerusi kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Justin berkata, Melaka United sedang mengadakan perbincangan bersama rakan kerjasama serta pelabur berpotensi yang percaya dan ingin bersama-sama memajukan kelab.
"Sokongan yang tidak berbelah daripada semua pihak khususnya penyokong setia serta warga Melaka sentiasa diperlukan untuk bersama-sama memacu kelab ke tahap yang boleh dibanggakan.
"Langkah ini bukan sahaja bagi menaikkan semula nama Melaka United dalam kancah bola sepak tempatan malah ke peringkat antarabangsa pada masa hadapan,” ujarnya.