.

.

Akhiri kemarau, Melaka United lakar kemenangan di Kuantan


Penantian Melaka United untuk mencipta kemenangan sulung di Liga Super berakhir selepas menundukkan 10 pemain Sri Pahang FC, 2-1 di Stadium Darul Makmur, Kuantan malam tadi.

Selepas memulakan kempen liga hambar dengan satu mata daripada empat perlawanan, skuad hijau putih turun ke Kuantan dengan misi membawa pulang tiga mata penuh.

Tanpa Risto Vidakovic yang dipecat kelmarin, pemangkunya, Asri Ninggal melakukan tujuh pertukaran pemain dengan memberikan debut kepada Bryan See selain menurunkan Syazwan Andik, Fadli Shas, Fadil Idris, Emmanuel Oti, Wan Zaharulnizam dan Ifedayo Olusegun.


Namun, tuan rumah dihadiahkan sepakan penalti seawal minit keempat selepas Syazwan Andik didakwa menjatuhkan Manuel Hidalgo dalam kotak penalti.

Penyerang import dari Jordan, Mahmoud Zatara tidak mempunyai masalah menewaskan Bryan See di gawang Melaka United untuk meletakkan Sri Pahang 1-0 di depan.


Melaka United berpeluang menyamakan kedudukan pada minit ke 19 menerusi satu gerakan cantik dari tengah padang. Bagaimanapun, hantaran silang Wan Zaharulnizam dari sebelah sayap kiri ditanduk tinggi Oti biarpun pemain sayap dari Ghana itu tidak dikawal lawan.


Pada minit ke-26 menyaksikan percubaan dari luar kotak, Justin Baas tinggi melepasi palang. Sehingga kini masih belum ada sebarang percubaan tepat ke gawang tuan rumah dilakukan pelawat.

Sri Pahang hampir menggandakan jaringan pada minit kecederaan separuh masa pertama namun percubaan deras dari luar kotak Billy Ketkeo sedikit tersasar.

Oti berjaya menyamakan kedudukan 1-1 selepas rehat babak pertama apabila melakukan rembatan lencong cantik dari luar kotak menewaskan Mohammadou Samassa di gawang Sri Pahang pada minit ke-51.


Pemain sayap itu sekali lagi menguji Samassa pada minit ke-58 namun percubaanya tepat ke arah penjaga gol lawan.

Tuan rumah terpaksa beraksi dengan 10 pemain dalam baki 25 minit perlawanan selepas Azwan Aripin dilayangkan kad kuning kedua sekali gus dibuang padang pada minit ke 63.

Beraksi dengan seorang pemain memberikan kelebihan buat Melaka United apabila pemain gantian, Hasbullah Abu Bakar meledak jaringan kencang juga dari luar kotak penalti bagi memastikan tiga mata penuh milik skuad hijau putih.

Syahrul Azwari terlepas peluang menambah jaringan Melaka United pada minit akhir perlawanan selepas percubaannya dikeluarkan dari atas garisan gol oleh pertahanan, Nickolas Swirad.

Foto: MUFC
Powered by Blogger.