.

.

Melaka United mara ke suku akhir Piala FA


Melaka United dipaksa bekerja keras sebelum mara ke peringkat suku akhir Piala FA selepas menundukkan PJ City FC 2-1 di Stadium Hang Jebat, malam tadi.

Segar dengan dua kemenangan berturut-turut di bawah bimbingan pengendali sementara Asri Ninggal, skuad hijau putih itu berjaya berada di depan seawal minit ke-11.


Pemain import, Sony Norde mudah menolak masuk hantaran silang Wan Amirul Afiq Wan Abdul Rahman bagi meletakkan Melaka United 1-0 di depan.


Tuan rumah berpeluang menggadakan jaringan pada minit ke-29 namun rembatan deras Emmanuel Oti dari dalam kotak penalti diselamatkan Kalamullah sebelum dikeluarkan pemain pertahanan PJ City.

Minit ke-35 menyaksikan giliran penyerang, Darren Lok menguji benteng skuad Hang Tuah apabila menggegar palang gol menerusi satu tandukan menarik, ketika Norazlan sudah pun tertewas.


Zainal Abidin menafikan peluang gol Sony pada masa kecederaan separuh masa apabila mengeluarkan bola dari atas garisan bagi memastikan keputusan kekal 1-0 menuju ke bilik persalinan.

Anak buah P. Maniam berjaya menyamakan kedudukan lima minit selepas perlawanan bersambung apabila Lok menanduk masuk hantaran silang Mahali Jasuli.

Namun kegembiraan PJ City tidak lama apabila Adriano meletakkan kembali Melaka United di depan pada minit ke-55.

Bermula daripada hantaran pemain gantian, Wan Zaharulnizam dari kawasan tengah, Adriano berjaya melepasi perangkap offiside sebelum mudah menyepak masuk gol kedua skuad hijau putih.

PJ City terus mengasak mencari gol penyamaan selepas itu namun gagal sekali gus menyaksikan satu slot suku akhir Piala FA 2022 menjadi milik Melaka United.


Foto: MUFC

Powered by Blogger.