.

.

MAFA rayu FAM beri peluang Melaka beraksi di Liga Super 2024

MELAKA akan mempunyai satu wakil yang akan beraksi di Liga Super musim hadapan sekiranya Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menerima rayuan yang dikemukakan Persatuan Bola Sepak Melaka (MAFA).

Perkara tersebut disahkan oleh Presiden MAFA, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh selepas Kongres MAFA ke-67 di Banda Hilir, hari ini.

Ab. Rauf yang juga Ketua Menteri Melaka berkata, badan induk bola sepak negeri itu juga akan mempersiap kerangka terbaik bagi memulihkan sukan itu di Melaka dan mengembalikan zaman kegemilangannya dalam saingan utama dalam negara.

"Menjelang ulang tahun ke-100 MAFA, ia menjadi objektif kita untuk kembali beraksi di Liga Super menerusi rundingan bersama pihak berkenaan namun bergantung kepada kelulusan dan syarat yang diletakkan pentadbir Liga Malaysia itu.

"Namun di peringkat kita, MAFA akan mencari rakan kongsi terbaik dan diharap ia dapat merealisasikan misi kita pada musim depan," katanya dalam sidang media seperti yang dilaporkan Bernama.

Melaka United tahun ini tidak layak beraksi di Liga Super kerana gagal mendapatkan Lesen Kebangsaan selepas tidak memenuhi kriteria yang ditetapkan dalam Kitaran Peraturan Pelesenan Kelab MFL 2022.

Pada masa sama, MAFA di bawah Presiden, Datuk Nur Azmi Ahmad mengumumkan membentuk kelab baharu yang dinamakan sebagai Melaka FC dan bersaing dalam Liga M3.

Bagaimanapun, kelab tersebut gagal menyaingi pasukan lain apabila menamatkan saingan di tangga ke-10 pada musim debut di Liga Malaysia.


Sementara itu, Timbalan Presiden MAFA, Datuk Mohd. Saiful Mat Sapri berkata, keputusan rayuan akan diketahui dalam tempoh terdekat.


Kata, sekiranya menjadi kenyataan, antara isu lain yang akan dibincang ialah penggunaan nama dan pasukan sama atau berbeza selain memperketat dan mengenal pasti perjanjian dengan mana-mana pihak.


Jelasnya, ini bagi mengelakkan perkara sebelum ini tidak berulang sehingga Melaka United gagal beraksi dalam Liga Super akibat masalah kewangan.


"Saingan liga musim depan akan bermula lewat iaitu pada April, jadi jika kita berjaya mendapat jemputan MAFA juga akan berbincang dengan pasukan Melaka FC sama ada akan bergabung atau sebaliknya kerana mempunyai masa yang suntuk untuk melakukan persediaan," katanya.

Powered by Blogger.