.

.

MAFA, kelab M3 perhalusi penyertaan Melaka di Liga Super

Datuk Mohd. Saiful Mat Sapri

 PERSATUAN Bola Sepak Melaka (MAFA) kini di peringkat perbincangan bersama kelab-kelab Liga M3 untuk memperhalusi penyertaan Melaka untuk beraksi di Liga Super musim ini.

Timbalan Presiden MAFA, Datuk Mohd. Saiful Mat Sapri berkata, perkara tersebut dimaklumkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif MAFA bilangan 1/2024, malam tadi.

"Banyak perkara perlu diteliti oleh MAFA termasuk mendapatkan pandangan daripada Amateur Football League (AFL)," katanya menerusi kenyataan hari ini.

Menurut Mohd. Saiful, fokus utama persatuan adalah pasukan pembangunan seperti Piala Presiden, Piala Belia, Futsal Lelaki, Bola Sepak Wanita dan membawa penyertaan pasukan bola sepak pantai lelaki.

"Semua penyertaan ini dalam saingan liga mestilah memberi sesuatu impak yang baik kepada nama persatuan.

"MAFA berhasrat mewujudkan Akademi Bola Sepak bagi memberi peluang dan ruang kepada generasi baru bagi mengikuti aktiviti yang dianjurkan," katanya. 

Jawatankuasa Eksekutif sebulat suara untuk terus mengekalkan 75 Kelab Gabungan bagi tahun 2024-2025 dalam memastikan kelab-kelab ini terus aktif menyertai pertandingan Liga Tempatan.

MAFA yang menyambut 100 tahun penubuhannya pada tahun ini memerlukan nafas baharu bagi membawa dan melahirkan pemain-pemain berkualiti dari negeri Melaka.

Powered by Blogger.