Melaka FC kekal bersaing di Liga M3 - Tok Mi

MELAKA FC akan kekal beraksi di Liga M3 musim depan dan bakal diperkuatkan dengan kemasukan beberapa nama besar bagi membantu pasukan tersebut layak ke Liga Super 2025.

Pemilik kelab, Datuk Nur Azmi Ahmad berkata, pihaknya juga akan melantik seorang jurulatih yang berpengalaman dalam saingan Liga Super sebelum ini.

Bagaimanapun katanya, perkara tersebut masih diperingkat penilaian dan akan dimutamadkan oleh satu jawatankuasa teknikal yang telah dilantik.


“Mungkin ada beberapa faktor membuatkan ramai pemain dan jurulatih ternama mahu menyertai Melaka FC walaupun kita beraksi di saingan Liga M3.


“Antaranya, faktor kebajikan dan tidak terpalit isu gaji yang telah kita buktikan pada musim lalu, yang mana walaupun keputusan kita tidak begitu baik, namun kita tetap membayar gaji seperti ditetapkan dalam kontrak.


“Insya-Allah pada Februari nanti kita akan umumkan barisan pemain dan jurulatih yang telah kita tandatangani berserta pelancaran jersi baharu pasukan,” katanya seperti dipetik daripada Melaka Hari Ini.


Presiden Persatuan Bola Sepak Melaka (MAFA), Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh yang juga Ketua Menteri Melaka baru-baru ini berkata, pihaknya telah mengemukakan rayuan agar Melaka dibenarkan kembali beraksi di Liga Super.


Ujar beliau, pihaknya juga sedang mencari rakan kongsi bagi merealisasikan hasrat tersebut.


Bagaimanapun, tidak dinyata dengan jelas sama ada Melaka United atau Melaka FC yang akan menjadi wakil Melaka dalam liga tertinggi bola sepak negara itu.


Pada November lalu, Nur Azmi mengumukan, kelab tersebut memperuntukan sebanyak RM1.8 juta bagi membina pasukan yang mantap sekali gus dapat memberi saingan dalam kancah Liga M3.