.

.

Peluang Melaka bermain di Liga Super kian terbuka


Pengumuman Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) ibarat satu sinar buat bola sepak Melaka apabila semua kelab Liga M3 diberi peluang memohon Lesen Luar Biasa untuk menyertai Liga Super musim 2024-2025.

Sebelum ini, penyokong Melaka acap kali tertanya-tanya kelab manakah yang akan dihantar Persatuan Bola Sepak Melaka (Mafa) bagi mewakili negeri di liga tertinggi bola sepak negara itu.

Namun, dengan pengumuman yang dibuat MFL malam ini, tampak kelab yang dinaungi Datuk Nur Azmi Ahmad atau Tok Mi, Melaka FC seakan bakal memohon slot berkenaan biarpun baru-baru ini menegaskan akan kekal bersaing di Liga M3.

Syarat permohonan lesen luar biasa atau extraordinary license yang ditetapkan bukanlah satu masalah kepada Melaka FC kerana kelab Liga M3 itu tidak berdepan masalah dengan pembayaran gaji pada musim lalu.

Ini kerana pembayaran distruktur dengan baik menerusi pembayaran gaji secara dua kali sebulan bagi mengelakkan wujudkan masalah culas membayar gaji pemain seperti yang dihadapi banyak kelab di negara ini.

Bagaimanapun, peluang Melaka United kembali beraksi juga tidak boleh diketepikan apatah lagi wujud desas-desus bahawa kelab tradisi Melaka itu dikembalikan kepada Mafa kerana terdapat klausa yang membenarkan kelab itu dipulangkan kepada pemilik asal jika timbul sebarang masalah.

Selain itu, peguam sukan yang pernah mewakili Melaka United, Zhafri Aminurrashid baru-baru ini juga ada menyatakan Melaka berpeluang kembali beraksi di Liga Super namun enggan mendedahkan kelab yang terlibat.

Menurut beliau, terdapat situasi antara Melaka dengan dua negeri, Perlis dan Sarawak kerana Melaka tidak mempunyai sebarang kes di Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) di atas nama persatuan yang belum diselesaikan.

Untuk rekod, Melaka United tidak lulus Lesen Kebangsaan musim lalu selepas gagal melengkapkan hanya tiga daripada 396 dokumen yang diperlukan MFL.

Justeru itu, Melaka United tidak dibenarkan beraksi di Liga Super sementara Melaka FC dibentuk MAFA di bawah kepimpinan Tok Mi bagi bersaing di Liga M3.

Foto: Melaka FC, Melaka United

Powered by Blogger.