Mat Yo mohon bantuan TMJ selesai isu gaji Melaka United


Bekas penyerang Melaka United, Norshahrul Idlan Talaha memohon pertolongan daripada Penaung Persatuan Pemain Bola Sepak Malaysia (PFAM), Tunku Ismail Sultan Ibrahim untuk menyelesaikan isu tunggakkan gaji oleh bekas majikannya.

Menerusi hantaran di akaun Instagram, Norshahrul Idlan atau dikenali sebagai Mat Yo  berkata, masalah tersebut telah berlarutan sekian lama namun sehingga kini masih belum menampakkan jalan penyelesaian.


"Assalamualaikum Tunku. Matyo masih menunggu pengkhabaran dari Tunku untuk mengadap. Terlalu lama akan masalah Melaka United tidak melunaskan gaji. 


"Tunku sebagai Penaung Persatuan Pemain Bola Sepak Malaysia (PFAM) harap dapat mendengar dan membantu akan masalah kami. 


"Saya juga bekas pemain Johor Darul Ta'zim (JDT) dan pemain kebangsaan di bawah naungan Tunku harap sangat Tunku dapat membantu," katanya hari ini.


Melaka United sebelum ini dibatalkan slot bagi saingan Liga Super 2023 dan tidak dibenarkan beraksi di kejohanan Piala Malaysia susulan daripada tunggakan gaji pemain yang dianggarkan sekitar RM2.4 juta.


Sementara itu, dalam hal berkaitan, pendengaran kes mengenai perbicaraan taksiran ganti rugi pemain Melaka United FC telah dijalankan di Mahkamah Tinggi Melaka semalam.

Menurut kenyataan PFAM, mahkamah telah mengarahkan pihak plaintif untuk memfailkan afidavit ke mahkamah bagi tujuan penelitian dan taksiran akhir oleh Yang Arif Hakim.

"Mahkamah juga telah menetapkan tarikh pada 18 Mac 2024 sebagai klarifikasi serta keputusan untuk taksiran ganti rugi tersebut.


"PFAM sangat komited dalam memperjuangkan dan membantu komuniti pemain bola sepak profesional secara keseluruhan dari segi kebajikan serta pembangunan pemain agar hak pemain akan terus terbela," katanya.