Datuk Seri Ab. Rauf Yusof (kanan) dan Datuk Mohd. Saiful Mat Sapri (kiri) sedang berusaha keras bagi memastikan akan ada wakil Melaka beraksi di Liga Super musim ini. Foto: MAFA |
PERSATUAN Bola Sepak Melaka (MAFA) dijangka bergabung dengan sebuah pasukan kelab Liga M3 yang berpangkalan di Lembah Klang bagi membentuk pasukan yang akan beraksi di Liga Super musim 2024-25.
Difahamkan, proses perbincangan bersama kelab berkenaan masih berjalan dan sekiranya tiada sebarang halangan, sebuah pasukan baharu akan dibentuk menggabungkan nama Melaka dan kelab berkenaan.
Seterusnya, persatuan tersebut dijangka mengambil-alih kelab itu sepenuhnya pada musim berikutnya dan akan menggunakan nama Melaka.
Sehingga kini, Presiden MAFA, Datuk Seri Ab. Rauf Yusof bersama timbalannya, Datuk Mohd. Saiful Mat Sapri sedang berusaha keras bagi memastikan kelab baharu itu dapat dibentuk bersempena penubuhan 100 tahun persatuan itu.
Peluang pasukan ini ke Liga Super tampak cerah susulan beberapa kelab yang menamatkan saingan di kelompok teratas Liga M3 musim lalu dilihat sukar melepasi syarat yang ditetapkan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) terutama dari aspek kewangan.
Sementara itu, Stadium Hang Jebat juga difahamkan menjadi salah satu stadium yang diperiksa oleh badan pengelola bola sepak tempatan itu sekali gus menguatkan lagi spekulasi bahawa akan ada wakil daripada Melaka yang akan bersaing di Liga Super musim ini.
Slot ke Liga Super musim ini hangat diperkatakan selepas Kelantan FC gagal mendapatkan lesen kebangsaan yang menyebabkan kelab itu tidak dibenarkan beraksi di Liga Super.
Susulan itu , MFL telah membuka semula permohonan lesen luar biasa (extraordinary license) kepada semua kelab Liga Bola Sepak Amatur (AFL) M3 untuk memohon lesen bagi menyertai Liga Super musim 2024-2025.
Dalam pada itu, pasukan Melaka FC yang dimiliki Datuk Nur Azmi Ahmad pula akan kekal bersaing di Liga M3 dengan peruntukan sebanyak RM1.8 juta dengan misi mencabar kejuaraan.
Untuk rekod, Melaka United tidak dibenarkan beraksi di Liga Super musim lalu selepas gagal mendapatkan Lesen Kebangsaan susulan permohonan yang dikemukakan tidak memenuhi kriteria yang ditetapkan dalam Kitaran Peraturan Perlesenan Kelab MFL 2022.
Kelab tersebut gagal mengemukakan bukti bayaran tunggakan gaji pemain dan pegawai sehingga Ogos serta tidak menyerahkan dokumen-dokumen berkaitan bagi memenuhi syarat sub kriteria kewangan F.04 dan F.11.
Hal ini dilaporkan berpunca daripada tunggakan gaji pemain dan pegawai kelab selama enam bulan yang membabitkan nilai sebanyak RM2.3 juta oleh Melaka United.
Justeru itu, difahamkan ada usaha yang dilakukan untuk mendapatkan kembali kelab namun menemui jalan buntu selepas pemilik kelab meminta sejumlah wang yang tinggi daripada pembeli berpotensi. - MUTDMEDIA