.

.

32 pasukan bakal berentap dalam Liga M5 Melaka

Mohd. Ridhwan Mohd. Ali (kiri) menerima cenderahati ketika majlis menandatangani MoU antara Persatuan Bola Sepak Melayu Melaka dan Super Football League di ibu negara, malam tadi. - MUTD Media

 SEBANYAK 32 pasukan dijangka berentap dalam kejohanan Liga M5 Melaka yang buat julung kalinya dianjurkan Persatuan Bola Sepak Melayu Melaka bermula Mei depan.

Presiden Persatuan Bola Sepak Melayu Melaka, Datuk Mohd. Ridhwan Mohd. Ali berkata, kejohanan yang menawarkan hadiah terkumpul RM23,000 itu merupakan kerjasama antara persatuan itu dan Super Football League.

Pada masa sama katanya, mereka turut mengadakan kursus perlesenan pengadil profesional dan juga kursus kejurulatihan akar umbi.

"Saya percaya dengan kolaborasi ini, ia diharap dapat membantu menaikkan taraf dan mutu bola sepak di negeri Melaka. 

Mohd. Ridhwan Mohd. Ali (kiri) menerima jersi tajaan Zerofour ketika majlis menandatangani MoU antara Persatuan Bola Sepak Melayu Melaka dan Super Football League di ibu negara, malam tadi. - MUTD Media

"Kita menyasarkan penyertaan 32 pasukan yang akan menyertainya. Insya-Allah liga akan bermula Mei ini, sejurus selepas Aidilfitri kita akan buka pendaftaran," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Persatuan Bola Sepak Melayu Melaka, Super Football League dan Zerofour di ibu negara, malam tadi.

Format Liga M5 Melaka menyaksikan sebanyak 32 pasukan akan dibahagi kepada empat kumpulan dengan empat pasukan teratas kumpulan layak ke peringkat kalah mati.

Juara kejohanan tersebut akan mendapat slot beraksi di Liga M4 pada musim depan.

Turut hadir, Pengerusi Amateur Football League (AFL), Datuk Mohd. Yusoff Mahadi; Presiden Persatuan Bola Sepak Melayu Malaysia, Datuk Mohd. Firdaus Mohamed dan Pengarah Urusan Super Football League, Sahdan Shaherom.

Sementara itu, Mohd. Yusoff berkata, penganjur perlu memainkan peranan penting bagi memastikan perjalanan liga tidak dicemari dengan insiden yang tidak diingini.

Beliau yang juga Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berkata, pihaknya tidak akan teragak-agak menyenarai hitam penganjur atau penyokong yang terlibat dalam pergaduhan.

Mohd. Yusoff Mahadi bercakap dalam sidang media majlis menandatangani MoU antara Persatuan Bola Sepak Melayu Melaka dan Super Football League di ibu negara, malam tadi. - MUTD Media

"Liga komuniti susah sedikit untuk kita kawal keselamatan. Kalau penganjur gagal menjaga (keselamatan), orang pun tidak akan percaya liga yang dikendalikannya.

"Ambil langkah kawalan daripada berlakunya insiden yang tidak diingini tetapi saya tidak boleh cakap 100 peratus (insiden) tidak akan berlaku. 

"Penyokong-penyokong ini susah sikit kita hendak kawal tetapi penganjur perlu mengambil langkah sewajarnya. Kali ini dengan ada pihak polis atau pegawai keselamatan bagi membuatkan penyokong lebih berhemah," katanya. 


Powered by Blogger.