Desa Baru ikat Sg. Putat, Serkam lakar kemenangan sulung

Pemain Desa Baru FC cuba melepasi kawalan dua pemain Sg. Putat FC dalam aksi Liga Super Komuniti A3 Melaka di padang UiTM Lendu, Alor Gajah, petang tadi. - Foto: Naning Media
 DESA Baru FC bangkit dua kali daripada ketinggalan untuk mengikat Sg. Putat FC, 2-2, dalam aksi Liga Super Komuniti A3 Melaka di padang Universiti Teknologi Mara (UiTM) Lendu, Alor Gajah, petang tadi.

Sg. Putat yang turun dengan misi mencari kemenangan kedua berturut-turut memimpin perlawanan apabila mendahului pada minit ke-21 menerusi jaringan penyerang, M. Azmil Azran A. Rahman.

Bagaimanapun, Desa Baru berjaya menyamakan kedudukan tiga minit sebelum tamat separuh masa pertama hasil jaringan Mohamad Rais. 


Babak kedua menyaksikan Sg. Putat kembali berada di depan pada minit ke-49 yang disumbangkan bekas pemain Melaka FC, P. Logaa sebelum kembali disamakan Desa Baru sekali lagi menerusi Mohamad Rais pada minit ke-61.

Sg. Putat terpaksa beraksi dengan 10 pemain dalam baki 13 minit perlawanan susulan layangan kad merah kepada P. Thanaraj kerana melakukan kekasaran dalam sitiuasi jelas menjaringkan gol oleh pihak lawan.


Sementara itu, dalam aksi sebelah petang pula menyaksikan Serkam FC menjaringkan gol dalam setiap babak bagi melakar kemenangan sulung dalam saingan liga apabila menundukkan Scofa, 2-1.


Mohd. Aiman Abdullah membuka tirai jaringan pada minit ke-18 namun Scofa bangkit menyamakan kedudukan pada waktu kecederaan babak pertama untuk mengikat kedudukan 1-1 ketika menuju ke bilik persalinan.

Serkam berjaya meledak gol kemenangan dalam 10 minit terakhir perlawanan apabila percubaan Ag. Ku Mohd. Hamirullizam Ag. Ku Hamzah menerjah gawang Scofa yang dikawal, Muhammad Salman.