Mohd. Nasir Basharuddin |
MOHD. Nasir Basharudin mahu membalas kepercayaan yang diberikan Melaka FC dengan bertekad untuk membantu kelab itu naik ke Liga Super pada musim depan.
Bekas tonggak Harini Football Team (FT) itu berkata, persiapan rapi yang diatur kelab dari awal sehingga kini menampakkan kemajuan dengan keserasian hampir berjaya dibentuk dalam kalangan pemain, biarpun rata-rata mereka adalah muka baharu.
Ujar bekas pemain kebangsaan itu, beliau percaya Melaka FC kini berada di landasan yang tepat untuk memulakan musim ini kerana semua pemain sudah bersedia dari semua segi aspek yang diperlukan.
"Sasaran peribadi saya untuk musim ini adalah ingin membawa Melaka FC ke kancah Liga Super. Saya berharap agar barisan pemain dapat memberikan komitmen penuh bermula dari latihan sehingga ke perlawanan sebenar.
"Saya juga mahu setiap pemain melaksanakan tanggungjawab masing-masing sebagai seorang pemain bagi memastikan sasaran pasukan musim ini mampu direalisasikan," katanya menerusi Facebook Melaka FC, semalam.
Melaka FC giat mempersiapkan pasukan di bawah kendalian K. Devan (kanan). Foto: Melaka FC |
Melaka FC untuk musim keduanya di Liga M3 atau kini dikenali sebagai Liga Komuniti A1 melakukan rombakan pasukan dengan membawa muka baharu termasuk ketua jurulatih, K. Devan bagi menggantikan Pedro Hipolito.
Kelab itu serius dalam merebut tempat ke saingan Liga Super dengan mengadakan persiapan sejak Mac lalu dengan mengadakan siri perlawanan pramusim dengan beberapa kelab Liga Super termasuk Kuala Lumpur (KL) City FC.
Selain Nasir, Melaka FC turut mengikat dua pemain import serta membawa masuk pemain berpengalaman seperti Mohd. Haziq Puad dari Perak FC, Nizaruddin Jazi (JDT II) dan Fakhrullah Rosli. (Imigresen FC).
Anak buah Devan bakal mengharungi dua lagi perlawanan persahabatan menentang RAMD FC pada 21 Mei ini sebelum menamatkan aksi menentang Selangor FC Bawah 23 Tahun (B-23) pada 25 Mac dengan kedua-dua perlawanan dilangsungkan di Stadium Hang Jebat.