Piala Belia: Melaka catat kekalahan ketiga berturut-turut

Melaka masih kempunan sebarang mata selepas tewas 4-2 kepada Selangor dalam aksi di Stadium Hang Tuah, Melaka, petang tadi. Foto: MAFA
 SKUAD bawah 18 tahun (B-18) Melaka terus dirundung malang apabila tewas 4-2 kepada Selangor dalam aksi Piala Belia di Stadium Hang Tuah, Melaka, petang tadi.

Tewas dalam dua perlawanan awal musim ini, Melaka yang beraksi di laman sendiri gagal menggunakan kelebihan yang ada sebaliknya dibolosi sebanyak tiga kali pada separuh masa pertama.

Selangor memperoleh gol pertama menerusi Muhammad Aiman Amsyar Sha'ari pada minit ke-20 sebelum menambah dua lagi gol sebelum rehat hasil sentuhan penyudah Muhammad Harith Danish Raimidizan (34') dan Ryan Hammad Zulrafhan (44').

Melaka masih gagal mengumpul sebarang mata dalam Piala Belia 2024 selepas tewas 4-2 kepada Selangor dalam aksi di Stadium Hang Tuah, Melaka, petang tadi. Foto: MAFA
Namun, babak kedua menyaksikan tuan rumah cuba bangkit memperkemaskan permainan dan usaha tersebut berhasil pada minit ke-63 menerusi jaringan Aniq Syahmi Anas.

Melaka berjaya merapatkan jurang pada minit ke-70 menerusi jaringan Nasruddin Sahad namun Selangor memadam api kebangkitan yang cuba dihidupkan menerusi jaringan keempat pada minit ke-80, hasil penyudah Muhammad Hatif Irfan Che Hamizi.

Kekalahan kepada Selangor menyaksikan Melaka mencatat kekalahan ketiga berturut-turut dalam saingan Kumpulan A Piala Belia 2024 sekali gus meletakkan pasukan itu di tangga tercorot kumpulan.

Aksi lain dalam Kumpulan A menyaksikan Sabah tewas 1-0 kepada Singa Muda Perlis, Sri Pahang 0-1 Kelantan, Kuala Lumpur City 0-1 Kelantan Darul Naim.