Piala Presiden: Melaka bawa pulang tiga mata dari Kota Kinabalu

Kesebelasan utama Melaka yang diturunkan Md. Noor Derus bagi aksi menentang Sabah di Stadium Mini UMS, petang tadi. Foto: MAFA
 MELAKA membawa pulang tiga mata berharga dari Kota Kinabalu selepas mencatat kemenangan tipis, 1-0 ke atas Sabah dalam aksi kumpulan A Piala Presiden di Stadium Mini Universiti Malaysia Sabah (UMS), petang tadi.

Turun bagi mengubat luka tewas dua perlawanan berturut-turut, skuad bimbingan Md. Noor Derus berjaya merobek gawang lawan pada minit ke-29 menerusi jaringan Muhammad Haziq Zamri.

Gol tersebut berpunca daripada gerakan dari sebelah sayap kiri sebelum Muhammad Haziq melepaskan rembatan kencang yang gagal diselamatkan penjaga gol tuan rumah, Liwisleo Subin.

Melaka berjaya mempertahankan kelebihan tipis itu sehingga wisel penamat dibunyikan sekali gus melonjakkan pasukantersebut ke tangga keenam selepas mengutip tujuh mata daripada enam perlawanan.

Pasukan ini bakal melayan kunjungan Terengganu FC III di Stadium Hang Tuah, Melaka pada Rabu depan bagi melengkapkan pusingan pertama saingan kumpulan Piala Presiden 2024.

Johor Darul Ta'zim (JDT) III kini memimpin kumpulan A selepas mengekalkan rekod tanpa kalah dengan mengutip 14 mata diekori rapat Akademi Mokhtar Dahari (AMD) B-17 dengan 11 mata namun kurang beraksi satu perlawanan.