Piala Presiden: Melaka raih kemenangan sulung di Cyberjaya

Skuad Piala Presiden Melaka meraih kemenangan sulung selepas menundukkan KL City, 2-0 di Stadium MMU, Cyberjaya, hari ini. Foto: FAM
 MELAKA meraih kemenangan pertama dalam saingan Piala Presiden 2024 selepas menundukkan Kuala Lumpur City (KL City) FC, 2-0 dalam aksi Kumpulan A di Stadium Universiti Multimedia Malaysia (MMU), Cyberjaya, hari ini.

Perlawanan berlangsung seimbang dalam 30 minit pertama perlawanan namun skuad bimbingan Md. Noor Derus bijak menyempurnakan peluang untuk berada di depan.

Berpunca daripada sepakan sudut, Mohamad Alif Ezzahan Zulkifli yang tidak dikawal mudah melompat tinggi untuk menanduk masuk gol pertama Melaka pada minit ke-29.

Selang dua minit kemudian, Melaka dihadiahkan sepakan penalti selepas penjaga gol KL City, Muhammad Azim Nurashid menjatuh Muhamamd Afiq Norizan dalam kawasan penalti.

Bagaimanapun, sepakan penalti yang diambil pertahanan, Adam Haikal Misron berjaya diselamatkan Muhammad Azim namun rembatan susulan Muhammad Haziq Zamri menerjah gawang tuan rumah untuk menjadikan kedudukan 2-0.

KL City yang dibimbing Iqbal Hanafi Masduki cuba bangkit menguasai perlawanan di babak kedua namun gagal menembusi benteng ampuh Melaka.

Perlawanan sedikit panas menjelang 10 minit terakhir apabila berlakunya tolak menolak antara beberapa pemain kedua-dua pasukan sehingga membawa kepada layangan kad kuning kedua kepada Muhammad Azim.

Tiada tambahan jaringan terhasil selepas itu sekali gus menyaksikan anak buah Md. Noor membawa pulang tiga mata berharga dari Cyberjaya.

Kemenangan itu menyaksikan Melaka kini mengumpul empat mata dalam tiga perlawanan dengan rekod satu kemenangan, satu seri dan satu tewas.