Piala Presiden: Melaka tumpas di tangan JDT III

Kapten Melaka, Mohamad Zahir Syakil Mohammad (kanan) cuba dihalang dua pemain JDT III dalam aksi Piala Presiden di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang, malam tadi. - Foto: MAFA

 HASRAT Melaka untuk mencipta kejutan ke atas Johor Darul Ta'zim (JDT) III tidak kesampaian apabila tewas mudah 3-0 dalam saingan Piala Presiden di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang, Johor, malam tadi.

Terikat tanpa jaringan di separuh masa pertama, skuad Presiden Melaka yang dibimbing Md. Noor Derus akhirnya bolos pada minit ke-66 hasil penyudah Muhammad Naim Zainuddin.


Selang lima minit kemudian, gawang pelawat bocor lagi dan kali ini giliran Abdul Raziq Abdul Rahman menanduk masuk gol kedua tuan rumah untuk melebarkan kedudukan kepada 2-0.


Penyerang JDT III, Abdul Raziq Abd. Rahman (tengah) diasak pemain Melaka dalam aksi Piala Presiden di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang, malam tadi. - Foto: MAFA

Muhammad Aqim Hazmi Hasmadi memastikan kemenangan JDT III menerusi gol ketiga selepas menolak masuk bola tangkapan kurang kemas penjaga gol Melaka, V. Rajendran pada minit ke-78.


Kemenangan itu meletakkan JDT unggul di tangga teratas Kumpulan A Piala Presiden dengan enam mata dalam dua perlawanan selepas menang besar 6-0 ke atas Kuala Lumpur City (KL City) minggu lalu.


Sementara itu, Melaka berada di kedudukan ketujuh dengan satu mata selepas merekodkan satu seri dan kekalahan dalam dua perlawanan pertama kempen Piala Presiden musim ini.


Melaka akan meneruskan saingan dalam Piala Presiden menentang pasukan KL City di Stadium Universiti Malaya (UM) Arena pada 9 Mei ini.