Piala Presiden: Perak III bawa pulang tiga mata dari Hang Tuah

Melaka gagal meraih sebarang mata selepas tewas tipis 0-1 kepada Perak FC III dalam aksi Kumpulan A Piala Presiden di Stadium Hang Tuah, Melaka, petang tadi. Foto: MAFA
 SKUAD Piala Presiden Melaka gagal meneruskan momentum kemenangan pada minggu lalu selepas tewas tipis 1-0 kepada Perak FC III dalam saingan Kumpulan A di Stadium Hang Tuah, Melaka, petang tadi.

Melaka yang dibimbing Md. Noor Derus gagal menggunakan kelebihan beraksi di laman sendiri di depan kira-kira 450 penonton apabila sekadar terikat tanpa jaringan pada babak pertama.

Bagaimanapun beraksi dalam perlawanan yang seimbang, Melaka gagal menembusi keampuhan benteng pelawat yang diterajui ketua pasukan, Ahmad Danish Haikal Abdullah.

Pemain Melaka, Muhammad Affendi Mohd. Sofi (13) cuba melepasi kawalan pemain Perak III dalam aksi Piala Presiden di Stadium Hang Tuah, Melaka, petang tadi. Foto: MAFA
Sebaliknya, pelawat menggunakan kesempatan yang ada dengan diterjemahkan menerusi jaringan pemain pertahanan, Muhammad Daniel Edzuan Mohd. Anuar pada minit ke-65.

Gol tunggal tersebut berjaya dipertahankan anak buah Mohd. Shahril Nizam Khalil sekali gus menyaksikan skuad muda Bos Gaurus itu berjaya membawa tiga mata penting pulang ke Ipoh.


Sementara itu, ini merupakan kekalahan kedua Melaka dalam saingan peringkat kumpulan sekali gus menyaksikan Melaka turun ke tangga kelima selepas hanya mengutip empat mata dalam empat perlawanan.

Johor Darul Ta'zim (JDT) III kini mengungguli Kumpulan A selepas mengutip 10 mata, hasil daripada tiga kemenangan dan satu keputusan seri dalam empat perlawanan.

Terenggganu FC III berada di tangga kedua dengan tujuh mata namun masih kurang beraksi satu perlawanan.